10/23/07

Pasar Seremban Jaya kurang pengunjung

Di mana silapnya ? Kenapa kurang pengunjung tetapi pasar dibaik pulih seperti tertera dalam gambar ? Kenapa tidak dijalankan usaha menarik lebih ramai pengunjung ? Siapa yang untnug, siapa yang rugi ? Ini bukan projek pertama PBT-PBT di N.Sembilan ini gagal, banyak lagi gerai-gerai dan bangunan milik PBT gagal di NS ini. Yang pasti untung ialah mereka yang membina Pasar , Gerai-Gerai dan sebagainya. Yang rugi ialah peniaga-peniaga kecil Melayu, Cina dan India.


SUNYI: Pasar Awam Taman Seremban Jaya, Senawang di lokasi strategik untuk menarik pelanggan membeli barangan keperluan harian.

Kedai runcit jual barang basah pada harga lebih murah jejas peniaga di Taman Seremban Jaya

Berita Harian 23 Okt 2007 SEREMBAN: Berdasarkan lokasinya yang di kelilingi taman perumahan yang menempatkan puluhan ribu penduduk, Pasar Awam Taman Seremban Jaya, Senawang, dekat sini, mempunyai lokasi strategik untuk menarik pelanggan membeli barangan keperluan harian.

Apatah lagi barangan yang dijual di pasar yang tersergam indah di tepi jalan utama itu bukan setakat barangan basah, tetapi meliputi produk runcit, sekali gus menjadikannya ‘pusat sehenti’ kepada orang ramai mendapatkan keperluan masing-masing.

Malah, pasar itu lengkap kemudahan asas seperti tandas, tempat letak kenderaan dan surau bagi memberi keselesaan kepada peniaga serta pelanggan.

Tanggapan itu bagaimanapun meleset apabila peniaga di pasar yang dibuka kira-kira empat tahun lalu itu mengeluh kerana pendapatan yang diperoleh tidak seberapa akibat kekurangan pelanggan.

Mereka turut bimbang jika sesuatu tindakan tidak diambil bagi menarik lebih ramai pelanggan, ramai yang mencari rezeki di situ akan gulung tikar dan pasar yang dikatakan dibina dengan kos RM2.8 juta itu dibimbangi menjadi projek gajah putih.


LENGANG: Banyak lot niaga tidak beroperasi kerana peniaga dikatakan sudah menutup perniagaan kerana tidak mahu menanggung kerugian lebih besar.

Tinjauan Berita Harian, baru-baru ini mendapati banyak lot niaga di pasar berkenaan tidak beroperasi dengan pengusahanya yang dikatakan sudah menutup perniagaan kerana tidak mahu menanggung kerugian lebih besar.

Maklum balas daripada peniaga yang masih bertahan menunjukkan antara faktor menyebabkan pasar itu kurang dikunjungi pelanggan kerana banyak pasar mini dan kedai runcit di kawasan berkenaan yang jaraknya tidak sampai satu kilometer.

Pemberian lesen kepada pengusaha pasar mini untuk menjual barangan basah turut dikatakan menjadi faktor kekurangan pelanggan di pasar itu kerana pengusaha premis runcit terbabit juga menjual barangan sama iaitu ikan, ayam atau sayur-sayuran dengan harga lebih murah.

Tinjauan juga mendapati reka bentuk pasar berkenaan, terutama kedudukan setiap lot gerai yang dipisahkan dengan dinding tinggi, menyebabkan gerai terlindung daripada pandangan pengunjung.

Kedudukan itu dikatakan berbeza dengan struktur bangunan pasar di tempat lain yang lebih terbuka dengan pengunjung mudah melihat dan berurusan dengan semua peniaga dalam satu kawasan.

Keadaan itu menyebabkan pelanggan hanya menghampiri gerai yang terletak di bahagian hadapan kerana beranggapan tiada peniaga beroperasi di bahagian dalam bangunan.

Peniaga ayam, Khamis Tumpang, 45, mengakui daripada lima peniaga ayam Bumiputera yang menjalankan perniagaan sejak pasar itu dibuka, kini hanya beliau seorang masih bertahan.

Katanya, beliau hanya menjual antara lima hingga tujuh ekor ayam pada hari biasa, manakala meningkat sedikit pada Sabtu dan Ahad dengan jualan antara 20 hingga 30 ekor ayam.

"Saya akui pendapatan di sini tidak seberapa. Saya cuba bertahan dengan menjual ayam yang tidak terjual di sini ke pasar malam untuk mengurangkan kerugian yang ditanggung," katanya.

Peniaga ikan, A Narasamah, 60, mengakui hanya mendapat purata RM40 sehari dan banyak ikan terpaksa dibawa balik kerana tidak laku berikutan kekurangan pelanggan.

"Jika keadaan ini berterusan, bagaimana kami hendak berniaga. Banyak peniaga asal sudah menutup perniagaan kerana tidak mahu menanggung kerugian lebih besar,” katanya.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Nilai (MPN), Datuk Noordin Mohd Yatib, berkata pihaknya mengakui masalah yang dihadapi peniaga di pasar berkenaan disebabkan beberapa faktor, termasuk pembukaan banyak pasar mini dan pasar malam.

Selain itu, katanya, MPN juga mendapati kebanyakan penduduk di kawasan berkenaan keluar bekerja setiap pagi dan hanya balik pada petang sehingga pasar harian kurang dikunjungi.

"Kita pernah mencadangkan kepada peniaga supaya mengubah waktu perniagaan bermula tengah hari hingga petang kerana sebilangan besar penduduk keluar bekerja dan hanya pulang sebelah petang.

"Ini kerana pasar malam di kawasan itu mendapat sambutan penduduk, tetapi cadangan itu tidak mendapat sambutan peniaga," katanya.

Mengenai dakwaan dinding memisahkan lot gerai di pasar itu yang terlalu tinggi, Noordin berkata, pihaknya akan membuat kajian dan jika dakwaan itu ada kebenarannya, MPN akan memecahkan dinding berkenaan.

FAKTA: Pasar Awam Taman Seremban Jaya
Kos pembinaan RM2.8 juta
Lokasi strategik di tepi jalan utama
Kemudahan lengkap seperti tandas, surau dan tempat letak kereta
Menjual pelbagai barangan daripada barangan basah hingga kering

http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Tuesday/EdisiWilayah/20071023081117/Article/index_html