10/30/08

Tahu ke tak UMNO perintah N.Sembilan ni ?

Tahu ke tak UMNO/Barisan Nasional yang diterajui Dato Seri Mohamad Hassan perintah N.Sembilan ni ? Semakin hari semakin banyak masalah rakyat terbongkar , perumahan terbengkalai , kelemahan pengangkutan awam , pengkorporatan Jabatan Bekalan Air , pembalakan dan banyak lagi. Terbaru masalah peniaga di Pasar Besar N.Sembilan.

Banyak masalah rakyat dibangkitkan sebelum ini di Blog berikut :
http://amkns.blogspot.com/
http://pakatanrakyatn9.blogspot.com/
http://pasns.blogspot.com/
http://terbengkalai.blogspot.com/

Tiada pengunjung: Peniaga Pasar Besar NS resah
Utusan Malaysia 30 Oktober 2008

Mohd. Ali Abu Bakar (kanan) menyerahkan memorandum meminta kerajaan negeri campur tangan dalam menyelesaikan masalah Pasar Besar kepada Firdaus Muhammad Harun di Seremban, semalam.


SEREMBAN 29 Okt. - Persatuan Pemilik Pasar Besar Negeri Sembilan di Bukit Kepayang dekat sini meminta kerajaan campur tangan bagi menyelesaikan kemelut berhubung ketiadaan pengunjung sejak lima tahun ia beroperasi.

Pengerusinya, Mohd. Ali Abu Bakar berkata, lebih 430 pemilik yang telah membeli lot kedai di bangunan tersebut kini dalam dilema berikutan janji pemaju yang tidak tertunai.

Sehubungan itu beliau berharap kerajaan mempertimbangkan cadangan supaya pasar borong di Pasar Besar Seremban dipindahkan ke lokasi tersebut untuk memberi peluang kepada peniaga menghidupkan kembali perniagaan.

''Kita mempunyai 38 peratus pemilik terdiri daripada orang Melayu, 40 peratus Cina dan selebihnya India. Kami berharap perkara ini mendapat perhatian dan pertolongan daripada kerajaan," katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum kepada Setiausaha Politik kepada Menteri Besar, Datuk Firdaus Muhammad Harun di Wisma Negeri di sini hari ini.

Kata Mohd. Ali, pihak pemaju ketika membuat tawaran pembelian dahulu menyatakan akan ada kemudahan infrastruktur moden seperti klinik, mesin pengeluar wang automatik (ATM), pejabat dan kedai Telekom.

Beliau berkata, pemaju juga berjanji menyediakan hentian teksi dan bas bagi memudahkan orang ramai datang ke pasar yang baru ini, malangnya, ia tidak disempurnakan.

Projek Pasar Besar Negeri Sembilan ini dimajukan oleh NS Central Market Sdn. Bhd., yang dahulunya dikenali sebagai IJM Construction Sdn Bhd., yang merupakan anak syarikat IJM Properties Sdn. Bhd.

Menurutnya, terdapat lebih 850 lot disediakan dalam bangunan ini dan mempunyai 800 ruang letak kereta dan 800 talian telefon serta dijanjikan keselamatan 24 jam.

Beliau berkata, pihaknya juga telah dijanjikan pemberian lesen perniagaan secara automatik oleh Majlis Perbandaran Seremban (MPS).

''Sebab itulah, kami membeli lot di sini dan sayangnya selepas lima tahun berada di situ, ia tidak mampu menarik kehadiran pengunjung.

''Kami tidak mampu lagi untuk membayar pinjaman bank dan terpaksa pula menjelaskan penyelenggaraan oleh pemaju, cukai pintu kepada MPS dan cukai tanah. Kami tidak tahan lagi dengan masalah ini," jelasnya.

Sementara itu, Firdaus berkata, beliau akan merujuk perkara itu kepada Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan mendengar masalah yang dikemukakan mereka.

''Saya menerima memorandum mereka dan simpati dengan masalah yang mereka hadapi sejak lima tahun lalu. Kerajaan sentiasa prihatin untuk membantu mereka dan kita berharap dapat menyelesaikan dengan cara yang baik.

''Buat masa ini, kita akan melihat isi kandungan surat yang dihantar dan akan meneliti secara terperinci agar ia tidak terus berlarutan," katanya.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1030&pub=Utusan_Malaysia&sec=Selatan&pg=ws_04.htm