Sinar Harian 13 November 2008
PULAU SEBANG - Keadaan dan persekitaran stesen bas dan teksi Pulau Sebang yang tampak usang, tidak lagi sesuai dengan pembangunan pesat yang berlaku di bandar ini.
Ia pastinya menuntut tindakan drastik daripada pihak tertentu bagi memastikan stesen berkenaan kelihatan menarik kepada penduduk tempatan atau orang luar yang menggunakan perkhidmatan di situ.
Stesen terbabit yang tidak ada sebarang perubahan sejak dahulu hingga kini, bagaimanapun terpaksa diterima oleh masyarakat kerana ia satu-satunya terminal yang ada dan sangat diperlukan.
Bagaimanapun, persekitaran stesen yang kotor dan tidak diselenggara dengan baik menunjukkan ia bagai tidak dijaga langsung dan memerlukan perhatian daripada pihak berkaitan.
Eksekutif sebuah syarikat jualan langsung, Ismail Abdullah, 53, yang sering menggunakan stesen itu berkata, keadaan bangunan stesen yang kelihatan uzur menonjolkan imej yang kurang menyenangkan pada mata pengunjung yang melawat bandar itu.
Katanya, ia memberikan implikasi negatif kepada penduduk yang rata-ratanya dari pekan Tampin dan Pulau Sebang serta menunjukkan seolah-olah pihak berkuasa tempatan tidak melaksanakan tugas mereka.
Peniaga makanan nasi campur, Zainiyah Yeob, 48, berkata stesen bas yang menjadi tumpuan orang ramai untuk menggunakan pengangkutan awam, sepatutnya kelihatan bersih dan terurus selain dilengkapi banyak kemudahan.
“Memanglah kurang menyenangkan kerana banyak kelemahan pada stesen bas itu yang perlu dibaiki segera. Selain faktor fizikalnya, stesen itu juga turut menjadi tempat tumpuan penagih dadah dan kutu rayau.
“Jika pihak berkenaan tidak bercadang membina stesen baru, sekurang-kurangnya mereka perlu mengubah suai atau membaik pulih bangunan itu bagi menyediakan perkhidmatan terbaik kepada warga bandar ini,” katanya.
Beliau berharap pihak terbabit dapat menaik taraf stesen berkenaan bagi menjamin kualiti dan mutu stesen bas dan teksi yang menjadi transit bagi dua bandar.
http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story2148733.asp