12/5/08

Demonstrasi minta hentian bas

Sinar Harian 5 Dis 2008
LUKUT – Sebahagian penduduk di Taman Sri Aman mengambil keputusan mengadakan demonstrasi bagi menggesa pihak berkuasa tempatan (PBT) menyediakan perhentian bas di taman berkenaan.

Difahamkan, penduduk taman berkenaan sudah beberapa kali menggesa PBT menyediakan perhentian bas untuk memudahkan mereka, namun ia dipandang sepi sehingga kini.

Ketiadaan infrastruktur itu menyebabkan penduduk yang menggunakan perkhidmatan awam menghadapi masalah, setiap kali ingin menaiki bas atau teksi untuk ke bandar Port Dickson.

Seorang penduduk, R Telagu, 37, mendakwa, perhentian bas penting kerana ramai penduduk di sini menggunakan bas dan teksi untuk ke bandar.

“Kami terpaksa menunggu dalam cuaca yang panas di tepi jalan dan terpaksa membawa payung. Malah keadaan bertambah buruk sekiranya terpaksa menunggu bas dalam keadaan hujan," katanya.

Seorang penduduk, Mark Liu, 35, pula memberitahu, situasi sekarang semakin membimbangkan, terutama kepada kanak-kanak dan pelajar sekolah yang menunggu bas untuk ke sekolah.

“Kebanyakan anak kami bersekolah di bandar Port Dickson dan menggunakan bas untuk ke sekolah. Mereka terpaksa menunggu di tepi jalan tanpa tempat menunggu yang sempurna.

“Kadang-kala hujan lebat menyebabkan pelajar tidak dapat ke sekolah kerana tidak mempunyai tempat untuk berlindung,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lukut, Ean Yong Tinsin yang ditemui memberitahu, masalah yang dihadapi penduduk itu akan diberi perhatian kerana ia turut membabitkan perihal keselamatan orang ramai.

Katanya, penduduk telah menghantar memorandum dan setelah menyiasat dakwaan mereka, terbukti rungutan mereka berasas.

:“Hampir 1,000 penduduk di taman ini memohon supaya diwujudkan kemudahan itu dan saya akan menghantar permohonan kepada PBT bagi menyelesaikan isu ini secepat mungkin,” katanya.

:Beliau turut memberitahu, permohonan kepada Kejuruteraan Majlis Perbandaran Port Dickson akan dibuat dalam tempoh terdekat.

http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story2222137.asp

0 comments: