Sinar Harian 2 Jan 09
SENAWANG - Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Negeri Sembilan, Loke Siew Fook, menyifatkan potongan kadar sebanyak 10 peratus yang diberikan kepada pengguna lebuh raya dari jam 12 tengah malam sehingga 7 pagi sebagai melepaskan batuk di tangga.
Beliau mendakwa tawaran tersebut tidak menunjukkan keprihatinan pihak PLUS untuk meringankan beban pengguna kerana pada masa tersebut bilangan pengguna lebuh raya adalah sedikit.
Malah, beliau yang ditemui media di persimpangan Plaza Tol Senawang semalam, mendedahkan jumlah hasil kutipan tol bagi tiga plaza tol tersebut sepanjang Januari sehingga Oktober tahun lalu adalah RM82.29 juta.
“Saya menjangkakan seandainya dikira jumlah kutipan tol bermula Januari sehingga Disember 2008, amaun tersebut melebihi kutipan hasil kerajaan Negeri Sembilan sendiri,” katanya.
Beliau berkata, isu tersebut pernah dibangkitkan di Parlimen dan mendapat reaksi daripada Kementerian Kerja Raya sendiri yang akan membuat kajian secara komprehensif namun sehingga kini masih tiada keputusan mengenainya.
“Saya pernah membangkitkan masalah ini di Parlimen, namun sehingga sekarang tidak ada sebarang keputusan yang dibuat dan hanya diskaun 10 peratus diberi kepada pengguna, itupun pada waktu tengah malam sehingga 7 pagi,” katanya.
Loke yang juga Ahli Parlimen Rasah dan Ketua Pembangkang di negeri ini tetap dengan pendirian membantah keputusan yang dibuat oleh PLUS.
Pada masa yang sama, Loke turut menggesa supaya memansuhkan bayaran tol di Lebuhraya Seremban-Port Dickson dan Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) bermula dari Plaza Tol Seremban ke Senawang yang menjadi laluan harian penduduk negeri ini.
“Sejak lebuh raya ini dibuka pada 1978, sehingga ke hari ini pengguna lebuh raya di Seremban, Senawang dan Port Dickson terpaksa membayar kadar tol yang tidak pernah turun harganya.
“Sudah tiba masanya PLUS memikirkan faedah bagi pengguna lebuh raya itu pula kerana unjuran keuntungan yang diperoleh amat besar," katanya.
Menurutnya, konsep tol secara percuma yang ada di Pulau Pinang, Perak serta Johor Bahru seharusnya diguna pakai di Negeri Sembilan.
“Cuba kita lihat dan kaji kenapa di negeri lain ada tol percuma dan kenapa di Negeri Sembilan yang jarak lebuh rayanya yang tidak begitu jauh diwajibkan bayar tol,” katanya.
Beliau berkata, Lembaga Lebuhraya Malaysia perlu mengkaji dan membuat keputusan yang terbaik mengenai perkara ini.
http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story2302145.asp
0 comments:
Post a Comment