1/28/09

Ramai Melayu bakal hilang Tanah Adat di Rembau

Baru-baru ini saya didatangi oleh seorang teman, katanya emaknya dan beberapa jiran lain di kampung telah di panggil ke Pejabat Tanah Rembau seorang demi seorang (bukannya dalam satu kumpulan) untuk diberi penerangan mengenai projek landasan keretapi berkembar.

Tanah emaknya akan diambil beberapa bahagian termasuk bahagian rumah. Apa yang mencurigakan ialah semasa penerangan tidak diberi maklumat berapakah pampasan yang akan diberikan.

Lalu saya menasihatkan teman saya tadi agar memberitahu emaknya apa-apa arahan mestilah ada hitam putihnya, ada surat menyuratnya yang sah. Jangan tandatangan apa-apa borang kalau tidak setuju, bawa berbincang dengan ahli keluarga yang arif. Lantik peguam kalau perlu.

Saya kata ini Tanah Adat, Tanah Adat adalah milik suku, dan mesti dipertahankan. Nilaian Tanah Adat adalah nilaian yang termahal di Malaysia ini, lebih mahal daripada tanah industri. Ini adalah kerana kalau kita ada RM 100 juta sekalipun, kita tak akan sekali-kali dapat membeli tanah adat walau seinci kalau kita bukan dari suku dan waris yang sah.

Kepada orang Rembau berhati-hati dalam urusan pengambilan tanah untuk pembinaan landasan keretapi berkembar.

Pastikan anda mendapat pampasan yang sewajarnya. Kalau diambil tanah 1 ekar, pastikan pampasannya anda dapat beli tanah 1 ekar dengan kawasan strategik yang sama, termasuk ganti rugi rumah, pokok-pokok dan sebagainya.

Kalau anda pemilik sah tanah , dan membayar cukai tanah setiap tahun apa perlu takut. Itu tanah anda, atau tanah adat yang anda kena pertahankan.

PERTAHANKAN TANAH ADAT MELAYU !

0 comments: