Kali ini giliran Mingguan Malaysia kolum Bisik-Bisik turut mempertikaikan pembinaan lapangan terbang di Labu , Negeri Sembilan. Siapa yang akan untung sebenarnya projek ini ??? Siapa pula yang akan menjadi menang sorak , kampung tergadai ???
*************************
Wajarkah projek LCCT Labu?
Mingguan Malaysia 18 Jan 2009
Setelah berakhir isu rancangan penswastaan Institut Jantung Negara (IJN) yang gagal menjadi kenyataan berikutan bantahan banyak pihak, tercetus satu lagi isu yang kini menjadi perhatian iaitu projek pembinaan Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) di Labu, Negeri Sembilan.
Bulan lalu, kabinet meluluskan cadangan pembinaan projek berkenaan untuk Air Asia Bhd (Air Asia) tetapi menurut laporan media, belum ada surat kelulusan rasmi diberikan.
Projek LCCT Labu atau dikenali KLIA-East akan dimajukan oleh Sime Darby Berhad dengan kos RM1.6 bilion dan pembiayaannya adalah atas inisiatif swasta.
Walaupun ada yang menyokong projek itu tetapi setakat ini lebih banyak bantahan daripada orang ramai atas pelbagai faktor.
Antaranya lokasi yang dekat antara KLIA dan KLIA-East yang cuma sekitar 10 kilometer. Wajarkah dua lapangan terbang termasuk landasan dan menara kawalan berasingan pada kedudukan yang begitu hampir?
Ia pastinya menjejaskan KLIA yang telah dirancang menjadi hab penerbangan utama negara dengan begitu banyak wang telah dibelanjakan.
Pada masa ini, kapasiti KLIA yang hanya mengendalikan 25 juta penumpang setahun, masih belum dimanfaatkan sepenuhnya biarpun kemudahan yang ada bertaraf dunia termasuk pengangkutan keretapi ekspres ke ibu negara, Kuala Lumpur.
Mungkin terminal utama di KLIA itu boleh disinergikan dengan operasi penerbangan tambang murah yang mampu melonjakkan isi padu pengunjung di terminal sebagaimana di Lapangan Terbang Changi, Singapura dan Suvarnabhumi,Bangkok.
KLIA adalah projek mega yang sebenarnya dirangka untuk memenuhi keperluan masa depan. Ia mempunyai keluasan yang cukup untuk menampung empat bangunan satelit di sekitar terminal utama. Setakat ini, baru sebuah dibina. Malah rancangan membina terminal LCCT yang baru berhampiran terminal utama telahpun dikemukakan oleh Malaysia Airports Berhad (MAB). Jika kelewatan MAB menyegerakan projek itu menjadi isu seperti dibangkitkan Air Asia, ia sepatutnya boleh diselesaikan dengan campur tangan dan komitmen kerajaan.
Satu lagi pertanyaan ramai, meskipun KLIA-East akan dibiayai pihak swasta tetapi akhirnya siapakah yang akan menanggung kos itu - kerajaan atau pengguna?
Berdasarkan reaksi banyak pihak, sebenarnya banyak persoalan yang menuntut perhatian. Bukanlah niat Awang untuk menafikan usaha Air Asia kerana Awang juga mahu melihat kejayaan syarikat penerbangan itu. Masyarakat juga sepatutnya melihat perspektif Air Asia termasuk perancangan masa depannya. Tetapi isu yang lebih besar ialah apakah pembinaan KLIA-East merupakan pilihan dan jalan keluar terbaik menyelesaikan permasalahan sebenar?
Awang juga menerima maklum balas daripada pembaca yang tidak selesa dengan keghairahan Air Asia melabelkan KLIA-East sebagai terminal rakyat, seolah-olah KLIA yang sedia ada bukan untuk rakyat negara ini atau tidak berkonsepkan rakyat. Awang setuju pandangan pembaca itu. Usahlah mewajarkan semuanya atas nama rakyat.
Rujukan : http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0118&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_04.htm
0 comments:
Post a Comment