2/5/09

Mufti dikacau, JKKK pun tak selesai

Masalah betul Mohamad Hassan ni, masalah Mufti tak selesai, JKKK pun tak selesai lagi.

Sinar Harian 5 Jan 09
Lebih 40 calon Pengerusi JKKK gagal tapisan

SEREMBAN – Lebih 40 nama yang dicalonkan untuk mengisi jawatan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) sekitar negeri ini terpaksa digugurkan selepas didapati gagal dalam ‘tapisan keselamatan’ yang diperkenalkan kerajaan negeri.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan (gambar) yang mendedahkan perkara itu berkata, kesemua nama tersebut gagal dalam tapisan keselamatan itu yang dilaksanakan kerajaan negeri dalam usaha memastikan mereka yang dilantik benar-benar mempunyai rekod bersih.

Bagaimanapun, katanya, nama berkenaan hanya membabitkan bilangan yang kecil jika dibandingkan dengan 722 calon keseluruhan yang kini dalam peringkat pemilihan selepas tempoh jawatan berkenaan tamat 31 Disember lalu.

“Kita sudah terima maklum balas berkaitan saringan keselamatan. Daripada nama calon-calon yang dicadangkan untuk jawatan JKKK, lebih 40 tidak layak selepas didapati tidak lulus tapisan keselamatan,” katanya.

Menurutnya, tapisan keselamatan yang dimaksudkan itu turut mengambil kira mereka bebas daripada rekod jenayah, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta Jabatan Insolvensi.

Berikutan itu, katanya, kerajaan negeri akan memulangkan semula nama yang gagal itu kepada kawasan terlibat bagi membolehkan nama baru dicadangkan semula untuk pertimbangan.

“Mereka yang gagal ini, kita tidak boleh buat apa-apa. Kita mahu pastikan supaya JKKK yang merupakan jentera kerajaan mempunyai latar belakang yang tidak diragui atau mendatangkan masalah kepada orang ramai.

“Kita buat begini bukan hendak mencari kesalahan orang tetapi sekadar prosedur pengurusan. Kita tak mahu orang yang dilantik rupa-rupanya bermasalah seperti mempunyai rekod jenayah atau muflis,” katanya kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di pejabatnya dekat Wisma Negeri, di sini, semalam.

Mohamad berkata, kerajaan negeri tidak akan berkompromi dengan nama-nama yang gagal tapisan keselamatan itu selaras dengan hasrat untuk memastikan mereka yang dilantik benar-benar diterima masyarakat.

“Soal keselamatan tak boleh timbang rasa kerana sebarang masalah yang boleh mendatangkan mudarat sesuatu tempat, nanti orang persoalkan mengapa mereka yang telah gagal dipilih,” katanya.

Mohamad berkata, langkah yang sama juga diambil bagi pemilihan ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini yang kini sedang dalam proses pemilihan nama bagi mewakili parti politik.

Sementara itu, katanya, biarpun masih menanti nama wakil parti politik untuk menjadi ahli majlis PBT di negeri ini, semua urusan majlis tempatan berjalan seperti biasa tanpa sebarang halangan.

“Jangan anggap pemilihan belum selesai, kita tak buat apa-apa. Fungsinya masih tetap seperti biasa,” katanya.

http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story2414347.asp

0 comments: