Sinar Harian 13 Mac 2009
KUALA KLAWANG - Penduduk di Taman Pekan Baru mahukan tindakan segera daripada pihak bertanggungjawab bagi mengatasi masalah banjir kilat kerana sudah bosan dengan masalah itu yang sering dialami mereka sekiranya hujan terlalu lebat.
Seorang penduduk, Mohd Noor Mahat, 47, berkata, sejak mendiami taman tersebut dari tahun 2001, sudah tujuh kali dia mengalami masalah banjir kilat dan pada bulan Mac tahun lepas paras banjir kilat kira-kira hampir empat kaki.
Menurutnya, masalah banjir kilat itu berpunca dari parit yang terlalu kecil dan lama serta tidak mampu untuk menampung aliran air yang banyak dari Taman Irama, Taman Jati dan lain-lain tempat lagi ketika hujan lebat.
“Saya amat berharap agar pihak bertanggungjawab dapat menyegerakan pembinaan longkang besar bagi memastikan masalah banjir kilat ini tidak berulang lagi,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di kediamannya, petang kelmarin.
Sementara itu, Azizah Nordin, 57, berkata, akibat banjir kilat yang terlalu kerap di taman itu, dia terpaksa membina tembok tinggi di hadapan dan belakang rumah bagi mengelakkan air masuk ke dalam rumah.
“Walau bagaimanapun, air tersebut tetap meresap masuk dan sejak 14 tahun saya mendiami taman perumahan ini, sudah banyak kali pihak bertanggungjawab menyatakan mereka akan mengatasi masalah ini.
"Pihak bertanggungjawab ada berjanji untuk membuat parit besar di beberapa lokasi bagi memastikan aliran air lancar ketika hujan lebat, namun baginya janji hanya tinggal janji," katanya.
Ishak Mohd Lazim, 57, berkata, dia dimaklumkan bahawa setiap kali banjir kilat berlaku penduduk yang mengalami masalah layak menerima bantuan sebanyak RM200.
“Namun, sejak dari tahun 1987 saya menetap di sini dan sudah lebih dari 10 kali kejadian banjir kilat, saya hanya pernah mendapat bantuan kewangan itu sebanyak satu kali sahaja,” katanya.
Menurutnya, janji daripada pihak berkaitan untuk mengatasi masalah banjir kilat itu sudah banyak kali didengarinya, namun tiada tindakan diambil dan penduduk di taman itu masih lagi mengalami masalah banjir kilat yang membebankan.
http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story2541863.asp
0 comments:
Post a Comment