4/7/09

Cukai pintu N.Sembilan akan naik lebih 100 peratus

Berita Harian 7 April 2009

300 bantah kenaikan cukai pintu

Penduduk tak puas hati nilai taksiran baru MDT meningkat 100 peratus

TAMPIN: Lebih 300 penduduk beberapa taman perumahan sekitar pekan ini berhimpun di Surau Taman Gunung Emas, di sini kelmarin membantah keputusan Majlis Daerah Tampin (MDT) menaikkan cukai pintu.

Kenaikan itu berkuat kuasa 1 Julai ini seperti Notis Semakan Senarai Nilaian 7 yang dikeluarkan MDT bertarikh 26 Mac lalu.

Kumpulan penduduk itu mendakwa terkejut menerima notis MDT itu kerana mendapati nilaian taksiran baru yang dibuat terhadap hartanah dan perniagaan mereka terlalu tinggi hingga melebihi 100 peratus berbanding taksiran lama.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak kumpulan penduduk terbabit, Mat Nasir Mat Jidin, berkata pihaknya berharap MDT dapat membatalkan kenaikan cukai itu kerana ia membebankan, terutama dengan kegawatan ekonomi yang berlaku ketika ini.

"Dalam keadaan kegawatan ekonomi ketika ini, MDT tidak sepatutnya menambah beban orang ramai, terutama golongan berpendapatan rendah, termasuk pesara dan ibu tunggal dengan menaikkan cukai pintu.

"MDT sepatutnya perlu mengambil kira masalah yang dihadapi orang ramai sebelum membuat keputusan yang tidak bijak ini," katanya yang menyerahkan surat bantahan itu kepada Ketua Umno Cawangan Tampin Jaya, Ali Omar bagi dikemukakan kepada Umno Bahagian Tampin untuk dimajukan kepada MDT.

Sementara itu, Yang Dipertua MDT, Datuk Mohd Yusof Yunus, meminta orang ramai yang tidak berpuas hati dengan nilai taksiran baru itu supaya mengemukakan bantahan secara bertulis sebelum 23 April ini.

Beliau berkata, keputusan menaikkan cukai itu belum dimuktamadkan dan pihaknya sedia mengkaji dan menimbang bantahan yang dikemukakan.

"Segala bantahan perlu dibuat mengikut prosedur dan saluran tertentu dan bukannya bercakap di kedai kopi, kaki lima atau publisiti menerusi media cetak dan elektronik," katanya ketika dihubungi.

http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Tuesday/Wilayah/20090406221414/Article/index_html

0 comments: