CHENOR - Pihak yang bertanggungjawab diminta menyelesaikan segera masalah pembetung longkang pecah berhampiran gerai seorang penduduk di sini.
Norizan Yusuf, 51, dari Kampung Chenor menggesa pihak terbabit supaya tidak memandang remeh masalah itu yang berlaku September tahun lalu dan kini semakin serius serta mendatangkan banyak masalahkepadanya terutama ketika hujan lebat.
Menurutnya, dia berasa amat musykil kerana masalah itu telah lama berlaku dan tidak diselesaikan sedangkan perkara yang sama di kampung-kampung lain segera ditangani oleh pihak berkaitan.
"Saya berasa seperti dipinggirkan sedangkan masalah ini turut mendatangkan kesusahan kepada pengguna jalan raya apabila hujan terlalu lebat kerana air yang bertakung di longkang akan melimpah ke jalan raya.
"Malah, sekiranya hujan terlalu lebat dan jalan dilalui kenderaan berat, percikan air dari limpahan takungan air longkang turut terkena kedai saya dan menimbulkan kesukaran kepada saya untuk membersihkannya," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di gerai miliknya di sini, semalam.
Norizan berkata, aliran air yang tersekat oleh pembetung longkang yang pecah itu juga turut membawa pelbagai sampah-sarap seperti plastik, tin-tin minuman, botol termasuklah bangkai ayam.
Menurutnya, keadaan itu bukan sahaja menimbulkan masalah bau busuk dan menyebabkan pelanggan yang berkunjung ke gerainya sering merungut, malah air bertakung itu turut menjadi tempat pembiakan nyamuk.
"Selain itu, saya juga begitu gusar kerana takungan air yang terlalu lama ini bolehmerosakkan struktur serta ketahanan jalan dan menyebabkan perkara yang tidak diingini berlaku seperti jalan mendap atau sebagainya.
"Oleh itu, sejak dari September tahun lalu lagi saya telah mengajukan masalah ini kepada Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Chenor dan kemudiannya kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) daerah Jelebu.
"Namun, maklum balas dari JKR daerah Jelebu pula menyatakan masalah itu adalah di bawah bidang kuasa Selia Selenggara Selatan Sdn Bhd," katanya.
Menurutnya, apabila ditanya perkara itu kepada pekerja Selia Selenggara pula, mereka berkata masalah berkenaan adalah di bawah bidang kuasa kontraktor yang telahpun dipilih.
"Terlalu banyak tolak-menolak telah menyebabkan masalah ini berlanjutan sehingga melebihi setengah tahun dan saya amat berharap masalah ini dapat diatasi secepat mungkin demi kebaikan bersama," katanya.
Norizan bersama beberapa penduduk kampung menunjukkan air yang bertakung di longkang akibat pembetung pecah, semalam.
0 comments:
Post a Comment