KESAN hakisan tanah runtuh di kawasan Rumah Rakyat Panchor setiap kali hujan lebat berterusan.
SEREMBAN 16 April - Penduduk Rumah Rakyat Panchor terutamanya yang tinggal berhampiran lereng bukit bersebelahan Taman Margosa di sini melahirkan kebimbangan mereka terhadap kejadian tanah runtuh yang berpunca daripada hujan lebat berterusan.
Kebimbangan tersebut menghantui mereka kerana insiden tanah runtuh yang berlaku sebelum ini mampu merbahayakan keselamatan selain boleh mengakibatkan kerosakan kepada rumah penduduk terbabit.
Tinjauan Utusan
Lebih membimbangkan, dua hari lalu hujan lebat yang berterusan telah menyebabkan rumah meraka dilanda banjir lumpur serta pokok-pokok di lereng bukit tersebut tercabut sehingga ada yang jatuh di atas bumbung rumah penduduk berkenaan.
Seorang penduduk, Hasnah Mohd Nor, 55, beliau telah menetap di kawasan perumahan berkenaan sejak tahun 1982 dan bimbang kejadian tanah runtuh itu akan membahayakan nyawa sekeluarga.
''Pada bulan lalu, tanah runtuh pernah berlaku di belakang rumah saya tetapi pihak berkuasa tempatan telah meletakkan kanvas untuk mengelak tanah daripada terus runtuh.
''Bagaimanapun, sejak akhir ini, hujan yang tidak menentu telah mengakibatkan sebahagian daripada kanvas berkenaan terkoyak dan membuatkan tanah di situ runtuh semula," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Tambah Hasnah, keadaan tersebut telah membuatkan beliau sekeluarga bimbang setiap kali hujan lebat kerana tidak ada tempat lain untuk berlindung selain rumah berkenaan.
Jelas beliau, lebih memenatkan setiap kali hujan lebat tanah merah pasti akan turun di belakang rumah dan perlu dibersihkan untuk memastikan ia tidak terus kekal di situ.
Seorang lagi penduduk, Syed Amiludin Syed Mansur, 59, berkata, hakisan tanah akan berlaku setiap kali hujan lebat secara berterusan dan ia pasti membimbangkan beliau sekeluarga.
''Saya sudah tinggal di sini selama 26 tahun dan seingat saya kejadian tanah runtuh pertama berlaku empat ke lima tahun lalu, namun yang terburuk adalah pada 15 Mac lalu dan kami begitu bimbang jika ia berlaku lagi.
''Saya berharap pihak berkuasa dapat melakukan sesuatu untuk mengatasi masalah ini kerana kanvas yang diletakkan tidak dapat menampung lagi tanah runtuh berkenaan," keluh beliau.
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0417&pub=Utusan_Malaysia&sec=Selatan&pg=ws_06.htm

0 comments:
Post a Comment