Sinar Harian 15 Mei 2009
RANTAU – Kerajaan negeri diharap adil dalam usaha memberi bantuan kepada golongan kurang berkemampuan di negeri ini tanpa melihat warna kulit, agama dan bangsa serta fahaman politik.
Ketua Parti Keadilan Rakyat Bahagian Rembau, Badrulhisham Shaharin berkata, setiap masyarakat berhak menerima apa jua bentuk bantuan yang disediakan oleh pihak kerajaan negeri tanpa istilah pilih kasih.
Beliau berkata demikian pada program menyampaikan bantuan barangan keperluan, wang tunai dan sebuah basikal daripada Pusat Khidmat Keadilan Rembau kepada lapan masyarakat India yang hidup serba kekurangan di sekitar kawasan Taman Sri Ramai di sini.
Menurutnya, dalam soal pemberian bantuan berkenaan, pihak kerajaan perlu adil kerana terlalu ramai rakyat yang kurang bernasib baik dan memerlukan perhatian.
“Semestinya mereka mengharapkan bantuan daripada pihak kerajaan untuk membantu meringankan beban yang terpaksa mereka tanggung.
“Saya difahamkan, ada yang terpaksa menunggu terlalu lama untuk mendapatkan bantuan sedangkan mereka sudah lama membuat permohonan,” katanya.
Selain itu katanya, Pusat Khidmat Keadilan Rembau sememangnya bersedia membantu mana-mana individu yang dilihat hidup dalam keadaan kesempitan dengan harapan dapat membantu meringankan beban yang terpaksa mereka tanggung.
Katanya, biarpun bantuan yang diterima tidak seberapa, namun ini adalah usaha pihaknya membantu rakyat yang amat memerlukan perhatian.
“Kita menyahut seruan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Muhamad Hasan yang berhasrat mengurangkan kadar kemiskinan di negeri ini di bawah Skim Jaringan Sosial.
“Tetapi saya harapkan janganlah ada istilah pilih kasih kerana adalah menjadi tanggungjawab kita bersama untuk membantu,” katanya kepada Sinar Harian.
http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story2763243.asp
0 comments:
Post a Comment