Berita Harian 13 Mei 2009
KETIKA kempen Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu, Menteri Besar Negeri Sembilan melakukan upacara pecah tanah projek pembinaan masjid untuk kegunaan masyarakat Islam yang tinggal di sekitar Seremban 2.
Bagaimanapun, sehingga kini pembinaannya belum menjadi kenyataan sehingga dijadikan isu bualan serta bahan kempen parti pembangkang.
Bagi saya, pembinaan masjid berkenaan perlu disegerakan.
Ia akan memudahkan penduduk yang tinggal di taman perumahan di sekitar Seremban 2 seperti Taman Oakland, Taman Megah, Bukit Kepayang dan taman lain dapat menunaikan sembahyang dengan selesa terutama solat Jumaat.
Untuk makluman, Taman Oakland, Taman Megah, Bukit Kepayang tidak mempunyai masjid.
Sembahyang Jumaat kini diadakan di sebuah surau Seremban 2 yang tidak dapat lagi menampung peningkatan jumlah jemaah.
Ia bukan saja menjadi tumpuan penduduk yang bermastautin di Seremban 2 tetapi juga kakitangan kerajaan yang bekerja seperti di Pejabat Tanah Daerah, Polis, bomba dan swasta, pekerja kilang, kakitangan pusat perniagaan Tesco dan Jusco di kawasan itu.
Kesesakan itu menimbulkan keadaan tidak selesa kepada jemaah.
Adalah menjadi harapan saya dan penduduk lain agar pembinaan masjid itu dapat disegerakan demi faedah penduduk yang bermastautin di sekitar kawasan Seremban 2 untuk menunaikan tuntutan agama.
JEMAAH SURAU,
Seremban, Negeri Sembilan.
http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Wednesday/Surat/20090512232253/Article/index_html
0 comments:
Post a Comment