Sinar Harian 21 Mei 2009
TAMPIN – Keunikan Taman Rekreasi Sri Repah satu ketika dahulu yang menjadi tarikan utama pengunjung tempatan dan luar negara pada tahun 90-an perlu diselamatkan segera daripada terus terbengkalai tanpa penjagaan sempurna pihak bertanggungjawab.
Sinar Harian difahamkan, taman rekreasi yang popular sejak pembukaannya pada tahun 1995 khususnya dalam kalangan penduduk Daerah Tampin mampu menarik lebih 1,000 pengunjung sebulan itu, kini, kian terhakis keindahan flora akibat arus pemodenan.
Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cawangan Tampin Sentral, Jeffrey Young Ahmad berkata, taman rekreasi yang terletak di Kampung Jeram Sri Repah itu kian musnah tanpa jagaan mana-mana pihak pengurusan yang enggan bertanggungjawab ke atas tempat terbabit.
Menurutnya, tempat yang satu ketika dahulu terkenal dengan kesejukan air bukit atau gunung yang mengalir dari Gua Batu Maloi dan Tanggai pernah menjadi tumpuan umum masyarakat setempat hadir bersama keluarga untuk beriadah serta istirahat setiap hujung minggu.
“Saya berasa amat dukacita melihat pembangunan Taman Rekreasi Sri Repah yang satu masa dahulu amat gah dengan kecantikan alam semula jadi dan kesejukan air bukit yang mengalir, kini, terbengkalai tanpa penjagaan pihak bertanggungjawab.
“Keadaan itu membuatkan kawasan ini dinaiki lalang dan semak samun sekali gus rosak segala prasarana sedia ada antaranya tanda awam, bilik persalinan dan pondok berehat,” katanya.
Tukang kebun sekolah, Musa Jamian, 55, berkata, pembukaan taman rekreasi itu lebih 10 tahun lalu mampu memberi pelbagai manfaat kepada seluruh penduduk setempat antaranya membuka peluang perniagaan secara kecil-kecilan.
“Lokasi ini amat berpotensi untuk menjadi salah satu pusat pelancongan atau peranginan jika kerajaan negeri menaik taraf secara sistematik dan terancang.
“Saya amat berharap supaya kerajaan negeri melalui pihak bertanggungjawab dapat melakukan sesuatu demi memulihkan kecacatan yang berlaku ini,” katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repah, S Veerapan, menyifatkan kegagalan pihak bertanggungjawab mengendali taman rekreasi terbabit sebagai satu kesilapan kerana potensi lokasi terbabit jana pendapatan daerah, negeri mahupun penduduk.
“Satu jawatankuasa khas wajar ditubuhkan untuk menjaga kawasan terbabit demi pembangunan semula taman rekreasi itu dan mengelakkan berlakunya perkara yang tidak diingini.
“Melalui pengamatan saya, lokasi taman rekreasi ini amat berpotensi besar dalam menaikkan nama daerah ini dengan persekitaran menarik untuk tumpuan orang ramai dan menjadi satu kerugian sekiranya kerajaan negeri mengabaikannya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian ketika mengadakan lawatan ke kawasan berkenaan, kelmarin.
Hadir sama, Ketua Penerangan Pas Cawangan Tampin Bandar, Abdul Ghani Ghulam Mohideen dan Ketua Penerangan PKR Tampin Sentral, Mahmad Ayub.
S Veerapan berharap kerajaan negeri melalui pihak berwajib dapat melakukan sesuatu antaranya dengan menubuhkan satu jawatankuasa menjaga dan menaik taraf semula kawasan ini demi kesejahteraan dan keselamatan bersama.
Veerapan bersama Jeffrey di Taman Rekreasi Sri Repah ketika lawatan ke tempat berkenaan, kelmarin.
http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story2784737.asp
0 comments:
Post a Comment