Berita Harian 8 Jun 2009
SEREMBAN: Lesen agensi pelancongan beroperasi di Senawang, dekat sini yang didakwa menipu pelanggan dengan mengutip kira-kira RM336,000 daripada pakej mengerjakan umrah yang ditawarkan boleh dibatalkan sekiranya dakwaan itu benar.
Jurucakap Bahagian Pelesenan, Kementerian Pelancongan, berkata pihaknya akan menjalankan siasatan berhubung dakwaan itu, termasuk menyiasat status agensi itu sama ada beroperasi secara sah atau haram.
"Kita akan menjalankan siasatan ke atas agensi itu mengikut Akta Industri Pelancongan 1992 dan jika mereka didapati beroperasi secara haram, tindakan geledah serta sita akan diambil.
"Jika siasatan mendapati mereka beroperasi secara tidak sah, tindakan menarik balik lesen agensi itu akan diambil," katanya ketika dihubungi, semalam.
Beliau mengulas mengenai dakwaan sepasang kembar, Nor Baiti Mohamad dan Nor Baini, 55, yang mendakwa ditipu dengan pakej mengerjakan umrah yang ditawarkan agensi pelancongan yang beroperasi di Senawang, dekat sini, kelmarin.
Nor Baiti mendakwa agensi pelancongan berkenaan dianggarkan mengutip RM336,000 daripada 80 pelanggan dengan bayaran yang dikenakan setiap seorang RM4,200, manakala beliau dan kembarnya bersama sembilan orang ahli keluarga membayar RM37,800.
Jurucakap itu berkata, pihaknya akan meminta agensi itu membayar semula bayaran kepada pelanggan tetapi agak sukar untuk mendapatkannya semula sekiranya agensi itu beroperasi secara haram.
"Kementerian Pelancongan tidak mempunyai dana untuk mengembalikan semula bayaran kepada pelanggan yang ditipu agensi pelancongan," katanya.
Mengenai kes penipuan membabitkan agensi pelancongan, katanya, ada beberapa kes termasuk yang dilakukan agensi yang menyertai Pameran Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta Fair).
http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Monday/Nasional/20090608075107/Article/index_html
USUS UMNO Sudah Busuk . Siri 4
3 hours ago

