6/1/09

Di N.Sembilan 1Umno bukan 1Malaysia


Nampaknya Umno N.Sembilan tidak perjuangkan konsep 1Malaysia tapi sebaliknya 1Umno. Pada 30 Mei 2009 telah diadakan Sambutan Minggu Perpaduan 2009 peringkat negeri di Senawang dengan konsep 1Malaysia. Tapi malangnya sepanjang-panjang jalan ke Taman Bandar Senawang tempat sambutan tersebut diadakan telah dihiasi dengan bendera-bendera Umno sahaja. Tiada bendera MCA, tiada bendera MIC, tiada bendera Gerakan, tiada bendera PPP. Bendera PAS, PKR dan DAP jangan haraplah, walaupun Taman Bandar Senawang dalam DUN Paroi yang wakil rakyatnya dari PAS.

DUN Paroi bukanlah kawasan majoriti besar Melayu. Kaum Cina dan India di sini melebihi 35 peratus.

Habislah konsep 1Malaysia ilham PM di N.Sembilan, kerana ianya menjadi 1Umno.


*********************
Pupuk semangat kejiranan

Utusan Malaysia . SEREMBAN 31 Mei - Penduduk di taman perumahan sekitar negeri ini diminta memupuk dan mengeratkan silaturahim dengan jiran tetangga masing-masing.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ia bagi mengeratkan semangat perpaduan di kalangan penduduk yang terdiri daripada pelbagai kaum serta berlainan kepercayaan agama.

Jelas beliau, penduduk di sesebuah taman perumahan sewajarnya menganggap diri mereka sebagai satu kelompok masyarakat yang mempunyai hubungan rapat walaupun berasal dari tempat-tempat berlainan di negeri ini atau dari negeri lain.

''Mereka perlu mengenali jiran tetangga yang tinggal dalam lingkungan 20 buah rumah di kiri dan kanan kediaman masing-masing," katanya.

Mohamad berucap merasmikan program Sambutan Minggu Perpaduan 2009 peringkat negeri di Taman Bandar Senawang dekat sini semalam.

Hadir sama ialah Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian, Warisan dan Adat Istiadat Melayu negeri, Datuk Mohammad Razi Kail dan Pengarah Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional negeri, Abd. Halim Hassan.

Beliau turut menyampaikan geran tahunan berjumlah RM892,800 kepada wakil-wakil Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dari setiap daerah di negeri ini.

Mohamad menambah, sekiranya konsep berkenaan dipraktikkan, hasrat kerajaan negeri melihat kewujudan satu kelompok masyarakat yang bersatu-padu serta saling memahami dapat dicapai.

''Amat menyedihkan apabila penduduk di sesebuah taman perumahan tidak mahu mengambil tahu apa yang berlaku di kawasan kejiranan mereka.

''Malah, ada penduduk yang tidak mengenali jiran masing-masing dan tidak turut serta dalam aktiviti serta program seperti majlis keramaian atau gotong-royong," jelas beliau.

Sehubungan itu, katanya, sikap negatif tersebut perlu dikikis dan setiap penduduk di taman perumahan seharusnya memberi sokongan padu terhadap setiap program kejiranan anjuran KRT masing-masing.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0601&pub=utusan_malaysia&sec=Selatan&pg=ws_04.htm&arc=hive

0 comments: