6/24/09

Penduduk Orang Asli minta geran tanah

Sinar Harian 24 Jun 2009

KAMPUNG PUTRA - Kegusaran Orang Asli terhadap masa depan hak milik tanah yang diterokai mereka sejak berpuluh-puluh tahun lalu bagi mewujudkan penempatan dan menjalankan kegiatan ekonomi masih belum menemui sebarang penyelesaian.

Malah, ada antara perkampungan Orang Asli itu yang tanahnya masih belum diwartakan atau masih lagi dalam proses pewartaan dan didakwa bakal berhadapan masalah pencerobohan tanah secara haram.

Tok Batin Kampung Putra, Awang Lijon berkata, isu itu sudah lama membebankan masyarakat Orang Asli dan mereka sentiasa bimbang kemungkinan untuk dihalau bila-bila masa oleh mana-mana pihak kerana tidak memiliki geran bagi tempat tinggal tersebut, walaupun perkampungan itu wujud sejak berpuluh-puluh tahun lalu.

:Katanya, isu itu perlu diperjuangkan pihak bertanggungjawab seperti Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA).

“Jika masyarakat lain boleh mendapatkan hak milik geran tanah, mengapa Orang Asli yang sememangnya menetap di negara ini sejak dari dahulu lagi tidak mendapat keistimewaan sama?

“Oleh itu, saya menggesa JHEOA untuk memperjuangkan masa depan pemilikan hak milik tanah atau geran penempatan bagi Orang Asli supaya nasib anak-anak serta cucu-cicit kami terjamin pada masa akan datang,” katanya ketika ditemui di perkampungan Orang Asli Kampung Putra.

Awang berkata, perkampungan Orang Asli Kampung Putra itu mula dibuka 1958 dan dibina dengan penempatan tersusun pada 1965.

Menurutnya, sebanyak 70 keluarga terdapat di perkampungan itu dengan anggaran penduduk hampir 300 orang.

“Oleh itu, saya selaku pemimpin memperjuangkan hak orang ramai, khususnya Orang Asli dan bukannya perjuangan berbentuk individu. Kalau tidak perjuangkan, sia-sia saya menjadi pemimpin mereka.

“Walaupun tanah perkampungan Orang Asli Kampung Putra ini sudah diwartakan kira-kira 300 ekar (120 hektar), namun langkah tersebut tidak membawa makna kerana kami tidak memiliki geran dan tanah ini boleh diambil pada bila-bila masa,” katanya.

http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story2892278.asp

0 comments: