6/24/09

Penduduk tagih janji pemimpin

Sinar Harian 24 Jun 2009

GEMENCHEH – Penduduk Taman Bunga Raya, di sini mengeluh kerana terpaksa meneruskan kegiatan harian dalam persekitaran kotor dan tidak terurus akibat ketiadaan sistem perparitan sempurna.

Tinjauan Sinar Harian ke lokasi turut mendapati kawasan diduduki penduduk berbilang bangsa itu turut berhadapan masalah pembuangan sampah meruncing berikutan kegagalan pengurusan sistematik.

Patrick Santiago, 64, berkata, ketiadaan sistem perparitan di kawasan perumahan itu menyebabkan kehidupan mereka sekeluarga dalam keadaan tidak selesa sejak 1995.

Katanya, pelbagai usaha dilakukan dengan membuat aduan kepada pihak bertanggungjawab bagi menangani masalah ketiadaan sistem perparitan dan longgokan sampah, namun, sehingga kini tiada sebarang tindakan diambil.

“Kesabaran selama 14 tahun menanti tindakan pihak bertanggungjawab untuk melakukan sesuatu demi keselesaan kami sudah sampai ke kemuncaknya. Ini kerana kami tidak tahan dengan persekitaran kotor yang boleh membawa penyakit berjangkit.

“Pelbagai pihak sudah ditemui untuk menyelesaikan masalah ketiadaan sistem perparitan dan proses mengangkut sampah sama seperti kawasan lain, namun, maklum balas menghampakan,” katanya.

Patrick berkata, pihak bertanggungjawab digesa peka setiap masalah penduduk dalam kawasan pentadbirannya dengan mengambil berat setiap rungutan demi menyelesaikannya.

“Saya kecewa kerana pelbagai cukai dikenakan sepanjang menduduki kawasan taman perumahan ini dibayar, namun, kehendak penduduk tidak didengari.

“Saya menyeru kepada pihak bertanggungjawab untuk melihat sendiri permasalahan dihadapi, sekali gus menilai dan mengambil tindakan bagi menyelesaikannya,” katanya.

Sementara itu, Yee Chin Hien, 53, berkata, janji yang dibuat oleh sesetengah pihak pada Pilihan Raya Umum lalu untuk mewujudkan sistem saluran perparitan masih lagi ditagih penduduk setempat.

“Penduduk di sini sudah membuat aduan kepada pemimpin kawasan untuk segera mengambil tindakan menyelesaikan masalah ini dan mereka ada berjanji, namun, sehingga kini masalah masih berlaku.

“Saya berinisiatif membuat parit menggunakan wang simpanan untuk kawasan kediaman sendiri. Bagaimanapun, saya kasihan dengan penduduk lain yang terpaksa menghadapi banjir kecil akibat limpahan air hujan dari kawasan bukit,” katanya.

Sementara itu, A Kamalavathy, 55, berkata, bau busuk setiap jam 7 petang hingga larut malam menimbulkan rasa tidak selesa mereka sekeluarga.

Katanya, kegagalan pihak bertanggungjawab mengangkut sampah secara kerap juga menimbulkan kemarahan berikutan longgokan berbau dan menjijikkan bertimbun di lereng bukit berdekatan.

“Kami sekeluarga terpaksa mengorek sendiri parit kecil bagi mengelakkan berlakunya limpahan air ketika hujan lebat ke rumah untuk mengalir ke jalan raya dan kawasan lereng bukit berdekatan.

“Selain itu, kegagalan lori mengangkut sampah memasuki secara penuh ke setiap kawasan perumahan amat mengecewakan sehingga menyebabkan segelintir penduduk terpaksa membuang sampah di kawasan bukit berdekatan yang mendatangkan bau busuk dan meloyakan,” katanya.

Sehubungan itu, penduduk taman terbabit menggesa pemimpin kawasan dan pihak bertanggungjawab untuk turun padang melihat permasalahan, sekali gus menyelesaikan kemelut yang dihadapi sejak bertahun lamanya.

http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story2891672.asp

0 comments: