Sinar Harian 28 Jun 2009
SENAWANG – Kawasan perumahan Taman Jasmin di sini bagaikan sudah menjadi pusat penempatan warga asing apabila kebanyakan daripada mereka yang bekerja di kilang-kilang berhampiran memilih untuk tinggal di situ.
Tinjauan Sinar Harian ke lokasi mendapati, kawasan tersebut dibanjiri warga asing Vietnam, Nepal dan Bangladesh yang bukan sahaja berkongsi beberapa buah rumah di taman itu, malah turut menetap di rumah kedai dua tingkat yang dipercayai dijadikan asrama oleh majikan mereka.
Bagaimanapun, ia menimbulkan masalah seperti kebersihan dan vandalisme apabila pelbagai jenis sampah bertaburan di persekitaran rumah kedai terbabit manakala dinding pula diconteng dengan cat.
Kaki lima kedai pula dijadikan ampaian dengan deretan pakaian yang dijemur sehingga menampakkan kawasan taman ini seperti setinggan warga asing.
Biarpun pemandangan yang menyakitkan mata itu hanya dapat dilihat oleh rata-rata penduduk taman berkenaan, namun keadaan ini pasti membuatkan pengunjung luar kurang selesa.
Seorang penduduk taman yang hanya mahu dikenali sebagai Hamzah berkata, selain menjadikan kawasan taman perumahan terbabit kotor, kebanjiran pekerja asing yang semakin ramai juga turut menimbulkan rasa kurang senang warga tempatan.
Menurutnya, biarpun setakat ini masih belum lagi kedengaran warga asing mengganggu penduduk, namun semestinya setiap ibu bapa rasa sangsi dengan kehadiran warga asing di sini.
“Bimbang juga dengan keselamatan anak-anak yang bermain dan berjalan di kawasan ini seorang diri kerana bila-bila masa sahaja boleh berlaku sesuatu tidak diingini.
“Bukannya mahu memandang serong kepada mereka, namun tanggapan negatif terhadap warga asing itu tetap ada biarpun mereka sudah lama menetap di sini,” katanya.
Sementara itu bagi seorang suri rumah yang hanya mahu dikenali sebagai Aminah berkata, dia tidak kisah jika warga asing mahu tinggal di kawasan perumahan terbabit, namun amat mengecewakan apabila mereka tidak menitikberatkan aspek kebersihan.
“Kadang-kala saya hairan bagaimana mereka dapat tinggal dalam suasana sempit dan kotor di rumah kedai dua tingkat yang ada di taman ini.
“Keadaan persekitaran taman ini terjejas kerana warga asing ini tidak menjaga kebersihan dengan membuang barang-barang yang tidak digunakan ditepi-tepi kedai dan menjemur pakaian sesuka hati,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, pengusaha kilang juga perlu memantau dan menasihati sikap buruk pekerja mereka yang mengotorkan kawasan ini.
Malah, Aminah turut menggesa pihak Majlis Perbandaran Seremban supaya memainkan peranan seperti memberi notis amaran kepada pihak pengurusan kilang tersebut berikutan sikap pengotor pekerja asing.
Dalam pada itu, penduduk juga mendakwa kegiatan dan cara hidup warga asing tersebut turut mengudang perasaan ‘rimas’ kepada penduduk kerana mereka dilihat tanpa segan silu menyalin pakaian di tempat terbuka selain hanya memakai tuala dan kain sarung.
Pemandangan seperti itu pastinya tidak manis seandainya dilihat oleh anak-anak dikawasan taman berkenaan menyebabkan penduduk mengharapkan pihak berwajib membuat pemantauan segera.\\
http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story2904193.asp
0 comments:
Post a Comment