6/17/09

UMNO Seremban pertikai pelantikan JKKK, bapa angkat

SEREMBAN 16 Jun - UMNO Bahagian Seremban mahu kerajaan negeri dan Badan Perhubungan UMNO negeri supaya bersikap lebih profesional dan telus dalam membuat keputusan tanpa meminggirkan sentimen setempat.

Ketuanya, Datuk Ishak Ismail berkata, kegagalan berbuat sedemikian memperlihatkan seolah-olah meminggirkan UMNO bahagian berkenaan selain tidak mengakui kepimpinannya yang dipilih oleh orang ramai.

Tegas Ishak, antara tindakan yang dilakukan tanpa perbincangan di peringkat bahagian termasuk soal pelantikan pegawai di Pusat Khidmat Masyarakat Barisan Nasional (BN) yang diwujudkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dikuasai pembangkang.

''Kita juga tidak bersetuju dengan langkah kerajaan negeri melantik Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) sebagai 'bapa angkat' di kawasan Ampangan, Sikamat dan Nilai.

''Saya ingin bertanya apabila tiba pilihan raya nanti, adakah 'bapa angkat' ini yang akan bertanggungjawab? Malah, ada di kalangan mereka sendiri pun tidak mampu menjaga kawasan masing-masing," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Dalam pada itu, Ishak juga mempertikaikan tindakan kerajaan negeri melantik pengerusi dan setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang dilihat meragukan.

Beliau juga mempersoalkan sistem tapisan yang dilaksanakan bagi memilih JKKK sedangkan ada di kalangan mereka yang dilantik mempunyai masalah termasuk masalah kesihatan dan berdepan dengan kes tertunggak di mahkamah.

"Ada di kalangan yang mereka yang dilantik pula bukan orang tempatan, muflis, terbabit dalam kes rasuah yang sedang dibicarakan dan berpenyakit.

''Jika kerajaan negeri sebelum ini pernah mengumumkan mereka yang dilantik akan ditapis dan diperiksa latar belakang terlebih dulu tetapi apakah jenis tapisan dan pemeriksaan yang dilakukan dengan melantik orang-orang bermasalah ini," tegas Ishak.

Ishak menjelaskan, tindakan itu kemudiannya membawa keputusan pihaknya tidak menghadiri Mesyuarat Badan Perhubungan UMNO negeri sebagai tanda protes kelmarin.

''Hasil dari perbincangan dengan ahli jawatankuasa (AJK) bahagian, kami memutuskan tidak menghadirinya kerana Badan Perhubungan UMNO negeri dan kerajaan negeri membuatkan kami seperti tidak wujud.

''Saya juga tidak akan menghadiri mesyuarat selagi Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri yang juga Menteri Besar tidak mengubah sikapnya," tegas beliau.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0617&pub=Utusan_Malaysia&sec=Selatan&pg=ws_04.htm

0 comments: