Tanah adat tidak boleh diperdagangkan: Dr Rusli
Sinar Harian 14 Julai 2009
BELIAU BERKATA, SEKIRANYA PIHAK KERAJAAN INGIN MENGAMBIL DAN MEMBELI TANAH ADAT ATAS DASAR PEMBANGUNAN, TANAH ITU PATUT DIGANTI DENGAN NILAI DAN LUAS SEPERTI MANA ASAL TANAH ADAT TERSEBUT.
KUALA PILAH – Tanah adat merupakan pusaka warisan nenek moyang yang perlu dijaga dengan baik supaya ia tidak mudah diperdagangkan.
Pensyarah Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), Prof Madya Datuk Paduka Dr Rusli Saludin berkata, beliau mempunyai pandangan tersendiri tentang tanah adat di Negeri Sembilan yang perlu diberi perhatian.
“Seperti yang diketahui isu tanah adat telah lama diperkatakan, tetapi apabila sesetengah pihak memberitahu tanah adat boleh dijual, perkara ini perlu dipandang serius.
“Ini kerana apabila tanah adat dijual, maka apa yang masih tinggal untuk masyarakat yang dikatakan kaya dengan Adat Perpatih dan unik ini? Cuba bayangkan warisan nenek moyang kita akan lenyap begitu sahaja,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, tanah adat adalah milik Datuk Lembaga dan tidak boleh sewenang-wenangnya dijual, melainkan mempunyai sebab yang kukuh.
Sebaliknya katanya, ia bukan istilah ‘menjual’, tetapi boleh ‘digadai’ untuk sementara waktu.
“Antara sebabnya seperti masalah kewangan, terlalu daif baru boleh digadaikan untuk selesaikan masalah, tetapi mesti ditebus balik kerana ia adalah tanah pusaka yang perlu dijaga dan dimiliki.
“Apa yang telah diketahui, Adat Perpatih mementingkan maruah, kesatuan dan permuafakatan yang kukuh antara satu sama lain. Apabila ada permuafakatan, sesuatu perkara boleh dibincangkan. Sekiranya anak-anak buah menghadapi masalah, tentunya yang lain dapat membantu dan tiada berlakunya jual beli tanah adat,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, sekiranya pihak kerajaan ingin mengambil dan membeli tanah adat atas dasar pembangunan, tanah itu patut diganti dengan nilai dan luas seperti mana asal tanah adat tersebut.
Beliau berpendapat, apabila tanah adat mudah dijual, maka orang Melayu tidak mempunyai tanah warisan nenek moyang mereka dan penyatuan antara sesama ahli keluarga kian pupus.
“Oleh sebab itu saya mempertahankan bahawa tanah adat tidak boleh dijual. Salah satu sebabnya penyatuan antara ahli keluarga akan hilang, seperti pantun ini ‘bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat’,” katanya.
http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story2953303.asp
0 comments:
Post a Comment