7/8/09

Kesal infrastruktur kampung tidak berubah

Sinar Harian 8 Julai 2009

AYER HITAM - Beberapa penduduk mewakili ahli masyarakat Kampung Dusat menyuarakan rasa ketidakpuasan hati terhadap masalah infrastruktur kampung mereka yang tidak pernah berubah sejak tahun 1980-an.

Seorang penduduk, Budin Abu, 67, berkata, masalah keadaan infrastruktur awam di kampung ini tidak pernah berubah walaupun sudah berkali-kali bertukar pemimpin kawasan.

Menurutnya, penduduk kampung ini berasa kesal dengan masalah yang berlaku dan masih tidak mempunyai penyelesaian hingga kini.

“Kami ingin tinggal dalam keadaan kampung yang selesa untuk anak cucu dan generasi akan datang.

“Sekiranya keadaan ini masih lagi pada tahap yang sama, bagaimana kami mahu menjalani kehidupan sempurna dalam sebuah kampung yang dihuni lebih kurang 100 lebih penduduk,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Rahmah Osman, 62 juga menyuarakan perkara yang sama dan berasa amat sedih dengan perkembangan kampung yang tidak mempunyai perubahan.

"Walaupun sudah berkali-kali aduan dibuat oleh penduduk kampung tetapi keadaannya masih sama.

“Keadaan jalan dan lorong di dalam kawasan kampung ini juga masih lagi bertanah merah dan jika ada yang berturap pun penduduk kampung ini sendiri yang melakukannya,” katanya.

Menurutnya, keadaan semak samun, jambatan yang kecil dan masalah-masalah lain juga seperti dipandang sebelah mata pihak bertanggungjawab.

http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story2935201.asp

0 comments: