Sinar Harian 15 Julai 2009
SUNGAI ROTAN - Pemilik Rumah Mesra Rakyat, Wahat Raha, 62, dan isterinya, Jamiyah Jamlus, 52, dari Kampung Sungai Rotan 1 mendakwa Rumah Mesra Rakyat yang baru diserahkan kepada mereka pada Februari lalu tidak selamat.
Wahat berkata, dakwaan itu adalah berasaskan keadaan dinding dan tingkap unit yang sepatutnya diduduki itu sudah retak walaupun masih belum didiami dan keadaan itu sudah diatasi oleh pihak bertanggungjawab dalam pembinaan rumah mesra rakyat itu.
Katanya, bagaimanapun, dia sekeluarga tidak dapat menyembunyikan ke-bimbangan kerana masalah Rumah Mesra Rakyat yang mengalami keretakan itu turut berlaku pada unit lain.
“Oleh itu, saya berasa begitu curiga terhadap tahap keselamatan Rumah Mesra Rakyat ini dan berharap agar pihak bertanggungjawab terutamanya Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dapat memantau sejak awal proses pembinaannya.
“Hal ini bagi memastikan Rumah Mesra Rakyat dibina dapat dilaksanakan dengan kaedah betul dan bukan sekadar sambil lewa sahaja oleh kontraktor dilantik,” katanya ketika ditemui di Rumah Mesra Rakyat itu.
Wahat berkata, dia berharap pihak berkaitan dapat bersikap lebih prihatin dengan nasib penerima yang layak untuk mendapat Rumah Mesra Rakyat itu kerana mereka bukanlah golongan senang.
Menurutnya, dia sendiri merupakan seorang pesara kerajaan dan kini menjalankan kerja-kerja kampung seperti mengambil upah menoreh getah di kebun milik orang bagi menampung perbelanjaan keluarga.
“Justeru, saya berharap pihak berkaitan dapat memikirkan bebanan ditanggung pihak pemilik Rumah Mesra Rakyat yang rata-ratanya bukan terdiri dari golongan berada atau senang.
“Malah, saya juga berharap agar Rumah Mesra Rakyat ini lebih selamat dan masalah keretakan akan dapat diatasi kerana rumah inilah yang bakal menjadi tempat tinggal kami sekeluarga,” katanya.
Sementara itu, dia juga menyatakan kos bagi menyambungkan bekalan air ke rumahnya adalah melebihi RM1,000 dan menjadikan dia agak sukar untuk memenuhi keperluan itu kerana agak kurang mampu untuk menanggung kos besar.
“Oleh itu, saya juga berharap agar pihak bertanggungjawab dalam pembinaan Rumah Mesra Rakyat ini turut dapat memikirkan kos penyambungan bekalan air bagi meringankan bebanan yang terpaksa ditanggung kami,” katanya.
http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story2956122.asp
0 comments:
Post a Comment