7/7/09

Penduduk serah tandatangan bantahan pelantikan kepimpinan

Sinar Harian 7 Julai 2009

AYER HITAM - Isu 95 peratus ahli masyarakat sebuah kampung membantah pelantikan kepimpinan JKKK berlanjutan apabila beberapa wakil menyerahkan salinan tanda tangan penduduk yang tidak menyokong pelantikan itu.

Setiausaha UMNO Cawangan Ayer Hitam, Omar Abu Bakar yang menyerahkan salinan tanda tangan penduduk kampung kepada Sinar Harian berkata, hingga setakat ini sebanyak 95 tanda tangan diperoleh daripada 122 penduduk yang masih tinggal di kampung itu.

Katanya, baki tanda tangan yang tidak berjaya diperoleh setakat ini adalah terdiri daripada senarai ahli UMNO Cawangan Ayer Hitam yang tinggal di kawasan kampung serta ahli masyarakat kampung berhampiran yang tidak menyokong pelantikan berkenaan.

“Kita serahkan salinan tanda tangan hampir keseluruhan ahli masyarakat kampung Dusat dan bukannya ahli masyarakat JKKK Kampung Dusat.

“Ini kerana ahli masyarakat Kampung Dusat ini adalah sebenar-benarnya penduduk asal kampung ini, manakala di bawah JKKK Kampung Dusat terdapat dua buah kampung lagi iaitu Kampung Melur dan Ladang Ayer Hitam,” dakwanya.

Bantahan berkenaan dibuat berdasarkan sokongan terhadap bantahan ahli masyarakat Kampung Dusat itu sendiri memandangkan penduduk Kampung Melur terdiri daripada majoritinya kaum India, manakala Ladang Ayer Hitam pula di bawah kelolaan pihak estet.

Beliau mendakwa, tandatangan itu merupakan satu langkah permulaan menunjukkan ketidakpuasan hati mereka terhadap pelantikan yang dibuat.

Sementara itu Muhamad Tahir Mihat yang memberikan penerangan bantahan awal isu berkenaan berlaku sebelum ini mendakwa, penduduk Kampung Dusat adalah ‘tulang belakang’ yang memperjuangkan hak ahli masyarakat kampung tersebut.

“Saya adalah penduduk asal kampung ini, apatah lagi apabila saya sudah tinggal di sini sebanyak lima generasi sehingga kini.

“Ini sudah menjadi hak kami sebagai penduduk kampung asal untuk mempertahankannya kerana kami mahukan perubahan dalam kampung kami,” katanya.

Salah seorang penduduk, Budin Abu, 67, berkata, dia tidak berpuas hati dengan pelantikan tersebut.

Katanya, infrastruktur awam dalam kawasan kampung ini amat menyedihkan apabila masih terdapat banyak lagi perkara dan kemudahan perlu diselenggarakan.

“Kami hairan kenapa keadaan kampung kami ini tidak pernah berubah hingga kini.

“Orang yang dilantik seharusnya menjalankan tanggungjawab sebagai seorang ketua masyarakat. Mereka juga sepatutnya lebih beramah mesra bersama masyarakat kampung,” katanya.

http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story2933016.asp

0 comments: