Sinar Harian 16 Julai 2009
SENAWANG - Hati mana yang tidak sedih apabila melihat rumah sendiri yang menjadi tempat berteduh setelah sekian lama perlu dikosongkan.
Aishah Md Isa, 62 dan dua anak lelakinya yang seorang merupakan orang kelainan upaya (OKU) dan seorang lagi bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) perlu mengosongkan rumah teres satu tingkat di Taman Seremban Jaya dalam tempoh beberapa bulan dari sekarang setelah gagal menjelaskan ansuran bulanan kediaman itu.
Warga emas terbabit semakin tertekan kerana tidak tahu ke mana hendak pergi memandangkan mereka sekeluarga hidup sebatang kara.
Menurutnya, suami yang dijadikan tempat bergantung sudah meninggal dunia lima tahun lalu disebabkan penyakit usus dihidapinya.
“Sejak itu, hidup kami sekeluarga memang perit kerana suami saya tidak lagi mampu bekerja sekali gus menyebabkan bayaran ansuran bulanan rumah kepada pihak bank tertangguh lama.
“Tiap-tiap bulan saya perlu membayar kepada pihak bank sebanyak RM590 dan kini sudah tertunggak sebanyak RM60,000, tetapi daripada mana saya mahu mendapat wang sebanyak itu dengan keadaan saya yang tidak bekerja,” katanya.
Aishah berkata, bukan tidak pernah dia memohon mendapatkan pekerjaan bagi menampung hidup mereka sekeluarga, namun tidak ada yang mahu menerima memandangkan dirinya yang sudah tua.
Disebabkan itu anak bongsunya Yushahri Mohamad, 17, terpaksa bekerja pada setiap hujung minggu bagi mencari sesuap nasi buat mereka sekeluarga.
Dia simpati melihat anaknya yang perlu bekerja sedangkan tahun ini dia bakal menduduki peperiksaan SPM yang menentukan masa depannya.
“Bagaimanapun apa boleh buat kerana hidup kami susah. Kebiasaannya dia akan bekerja di pasar membantu sesiapa sahaja memerlukan dengan mendapat bayaran harian sebanyak RM20,” katanya.
Menurutnya dengan wang itulah dia membeli barangan makanan buat mengalas perut biarpun kadangkala terpaksa menahan lapar selama tiga hari kerana wang simpanan untuk membeli makanan sudah habis.
http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story2959684.asp
0 comments:
Post a Comment