Sinar Harian 12 Ogos 2009
SENAWANG – :Kira-kira 32 penduduk Kampung Sungai Gadut, Jalan Rantau-Seremban yang menduduki Tanah Rezab Keretapi yang terlibat dalam Projek Landasan Berkembar Seremban-Gemas dibelenggu kebimbangan gara-gara pemberian notis yang diterima mereka, baru-baru ini.
Surat notis bertarikh 12 Jun 2009 daripada Perbadanan Aset Keretapi (PAK) telah menggesa penduduk supaya mengosongkan premis mereka dalam tempoh 30 hari daripada tarikh pemberian notis itu.
Sekiranya penduduk gagal mematuhi kehendak notis yang diberi, mereka akan disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 425 (1A) Kanun Tanah Negara yang mana jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjara tidak lebih dari satu (1) tahun atau kedua-duanya sekali.
Hal ini membimbangkan penduduk dengan tindakan undang-undang yang akan dikenakan walaupun hakikatnya, mereka adalah pemilik berdaftar dan bukannya menduduki tanah rezab milik PAK sepertimana yang dinyatakan.
N Ponnamalam, 55, berkata, penduduk memerlukan penjelasan pihak yang berkaitan dalam hal ini memandangkan ia menimbulkan banyak kekeliruan yang perlu diselesaikan segera.
Katanya, penduduk bimbang dengan situasi itu sebaik notis diterima daripada Perbadanan Aset Keretapi yang menyatakan penduduk menceroboh tanah rezab mereka padahal kami (penduduk) adalah pemilik tanah sah dengan memiliki geran masing-masing.
“Pejabat Tanah pun sebelum ini mengesahkan tanah diduduki sekarang ini tidak terlibat dalam projek terbabit apabila melihat menerusi struktur pelan projek.
“Tetapi lain pula jadinya apabila PAK menghantar pegawainya ke sini bagi menandakan tanah yang diduduki meskipun sebelum ini dikatakan tanah yang diduduki itu tidak terlibat,” katanya ketika ditemui.
Dia yang sudah menetap selama 54 tahun di Kampung Sungai Gadut itu berkata, sekiranya masalah itu tidak dapat diselesaikan dan PAK tetap menggesa penduduk mengosongkan tanah berkenaan, mereka harus memberi pampasan yang setimpal kepada penduduk.
Ini kerana, katanya, kebanyakan penduduk sudah tinggal lama di sini, malah tidak mempunyai rumah lain melainkan yang dibina di atas tanah yang dimiliki secara sah itu.
“Jadi mereka (PAK) harus memberi pampasan yang setimpal kepada kami sekiranya mana-mana tanah yang diduduki penduduk terlibat dalam projek Landasan Berkembar Keretapi Seremban-Gemas itu,” katanya.
Pandangan yang sama turut dikongsi Tai Look Moi, 45, yang memberitahu dia dan keluarga begitu risau dengan nasib mereka sebaik menerima notis berkenaan.
“Semenjak itu, saya tidak dapat tidur lena memikirkan masalah yang akan dihadapi. Kami bukan keluarga senang malah tidak mempunyai rumah lain melainkan rumah ini.
“Walaupun sebelum ini, tanah di rumah saya telah dinyatakan tidak terlibat dalam pengambilan projek ini, tetapi tiba-tiba mereka sudah buat ‘tanda’ dan mengatakan tanah saya turut sama terlibat,” katanya.
Sementara itu, N Perumal, 67, berkata, pihak PAK seharusnya berjumpa dengan penduduk terlibat dan menjelaskan mengenai keadaan sebenar tanpa memutarbelitkan cerita.
“Ini tidak, sebelum ini cakap lain, dan selepas itu pula cakap lain. Tidak tahu mana satu yang betul. Penduduk di sini bertambah runsing selagi tidak mendapat penjelasan pihak berkenaan,” katanya.
Bagaimanapun masalah terbabit telah diketengahkan Setiausaha DAP Negeri Sembilan, Cha Kee Chin dan Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Senawang, P Gunasekaran dengan mengadakan satu perbincangan bersama pegawai Perbadanan Aset Keretapi cawangan negeri, pada 6 Julai lalu.
http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story3038272.asp
0 comments:
Post a Comment