Sinar Harian 24 Ogos 2009
KAMPUNG BARU – Permohonan penduduk di sini untuk mendapatkan kemudahan padang bola tampar tidak pernah mendapat jawapan daripada pihak berkenaan dan ini menimbulkan rasa kekecewaan.
Husin Amsari, 46, berkata, permohonan dibuat beberapa kali sejak tiga tahun lalu melalui surat dihantar, namun sehingga kini tiada sebarang jawapan balas diberikan tentang permohonan tersebut.
Menurutnya, kami penduduk di sini sentiasa menantikan jawapan, walaupun banyak permohonan dihantar tiada satu pun dibalas. Untuk makluman, pasukan bola tampar kami beberapa kali mengharumkan nama kawasan ini.
“Pasukan bola tampar ini atau lebih dikenali dengan nama Kampung Baru FC empat kali berturut-turut menjadi johan pertandingan Kelab Sukan Komuniti (KSK) dan pada tahun lalu mewakili Port Dickson untuk bertanding di Stadium Paroi.
“Kebiasaannya kami akan berlatih di sebuah kawasan yang keluasannya terhad di belakang sebuah rumah ahli pasukan. Bagaimanapun kawasan itu tanahnya tidak rata dan tidak sesuai untuk berlatih,” katanya.
Husin berkata, dia berharap agar pihak berkenaan dapat mempertimbangkan permohonan tersebut kerana kami mereka bukan sekadar bermain, tetapi turut menyumbang nama kepada kampung dan Dewan Undangan Negeri (DUN) ini.
“Apabila dibina padang bola tampar itu nanti, saya yakin akan lebih ramai anak muda dan belia turut serta dan ini boleh mengembangkan industri sukan di kawasan ini dan tidak hanya tertumpu kepada sukan futsal yang semakin mendapat tempat di hati belia.
“Kita boleh mempelbagai bakat anak muda dan meraih kecemerlangan sukan dalam semua jenis sukan,” katanya lagi.
Kampung Baru FC sering melakukan sesi latihan pada sebelah petang sekurang-kurangnya tiga kali seminggu dan sekarang ini terpaksa menumpang di padang di Kampung Paya kerana tempat biasa digunakan untuk berlatih licin sebab musim hujan.
http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story3278224.asp
0 comments:
Post a Comment