8/8/09

Penduduk bimbang rumah retak

Sinar Harian 8 Ogos 2009

SEREMBAN – Pelaksanaan projek Landasan Keretapi Berkembar Seremban-Gemas giat dijalankan berhampiran kawasan perumahan, didakwa mengakibatkan keretakan teruk di sepanjang deretan perumahan di Lorong 19, Taman Tan Chee Hoe, dekat sini.

Penduduk mendakwa, mereka bimbang dengan keretakan yang semakin banyak berlaku sejak pelaksanaan pembinaan projek berkenaan.

Malah, sejak dua hingga tiga bulan kebelakangan ini, penduduk mengadu kehidupan mereka bertambah sukar disebabkan banyak debu masuk ke kawasan kediaman akibat lori yang keluar masuk, selain gegaran daripada projek tersebut.

Tinjauan mendapati, kawasan projek Landasan Keretapi Berkembar Seremban-Gemas itu dilihat begitu hampir dengan kawasan belakang rumah penduduk berkenaan yang tidak sampai 30 meter.

Malah difahamkan, penduduk mendakwa langsung tidak diberikan penerangan terperinci mengenai pelaksanaan projek itu sebelum ini menyebabkan mereka bimbang dengan situasi tersebut.

Lee Choy Chin, 41, mendakwa, aktiviti projek dijalankan itu sememangnya menimbulkan rasa kurang senang penduduk.

“Kami bimbang dengan keadaan rumah yang dilihat makin retak kesan pelaksanaan pembinaan projek itu. Selain itu, bilangan lori keluar masuk ke tapak projek menambahkan lagi keretakan,” katanya.

Dia yang sudah menetap selama 16 tahun di taman perumahan itu berkata, debu yang masuk ke dalam rumah juga menyukarkannya untuk memasak.

“Ketika siang, memang banyak debu masuk ke dalam rumah. Jika dilapkan sekalipun, dalam masa beberapa minit debu akan ada semula,” katanya.

Sementara itu, S Sundaraj, 46, berkata, dia mendakwa berasa gegaran sebaik sahaja projek itu bermula.

“Atap rumah, longkang dan dinding retak dipercayai akibat projek yang sedang dilaksanakan itu.

“Ditambah dengan debu, lori keluar masuk, kami tidak boleh tahan lagi. Sudah dua hingga tiga bulan penduduk terpaksa berhadapan situasi sebegini. Seharusnya keselesaan penduduk dijaga dan dipelihara,” katanya.

Justeru dia dan penduduk berharap, satu mekanisme dapat diambil bagi mengatasi masalah tersebut.

http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story3025457.asp