9/4/09

Banjir lumpur sukarkan kehidupan penduduk

Sinar Harian 4 Sep 09

KAMPUNG JIMAH BARU – “Kami tidak menghalang sebarang pembangunan, tetapi jangan terlalu rakus sehingga mengabaikan keselesaan penduduk di sini,” keluh seorang warga emas Mohamad Hassan, 83, apabila rumahnya dilanda banjir lumpur baru-baru ini.

Dia berkata, kawasan itu memang sering dilanda bencana alam, tetapi sejak adanya pembangunan projek perumahan di kawasan berhampiran dakwanya, banjir lumpur mula berlaku.

“Untuk tahun ini sahaja sudah tiga kali kawasan ini dilanda banjir lumpur. Jika sebelum ini banjir kilat yang melalui kawasan ini hanyalah air dan tidak merisaukan kami, tetapi kini banjir lumpur menyusahkan kami untuk membersihkannya.

“Kawasan ini mudah dinaiki air dan apabila hujan lebat dalam masa dua jam sahaja, kawasan ini sudah banjir. Dahulu kami tidak risau sangat kerana banjir yang berlaku hanya air yang lalu sahaja, tetapi kini air lumpur. Kawasan laman rumah saya ini adalah tanah yang telah ditar dan untuk membersihkannya harus disapu dan disimbahi air,” katanya.

Sementara itu, menurut seorang penduduk, Bahudin Ahmad, 55, projek perumahan yang sedang dibangunkan adalah satu pembangunan yang baik, tetapi berharap kepentingan serta keselesaan penduduk tidak diabaikan.

“Pembangunan yang sedang dijalankan ini mungkin satu projek yang tidak dirancang dengan baik kerana menjejaskan keselesaan penduduk di sini.

“Kami penduduk di sini tidak kecewa dengan keadaan banjir yang sering berlaku di sini kerana kami tahu struktur muka bumi yang memang menjadikan kawasan ini sebagai laluan air apabila hujan, namun setelah adanya projek perumahan itu, kawasan ini dilanda banjir lumpur. Sekurang-kurangnya kami berharap ada inisiatif daripada pemaju untuk datang membantu mangsa yang mengalami banjir disebabkan oleh tapak projek mereka bagi membersihkan lumpur kesan daripada banjir kilat,” katanya.

Bahudin berkata, kawasan perumahan itu lebih rendah daripada kawasan tapak projek perumahan berkenaan dan mengakibatkan segala kekotoran seperti lumpur akan mengalir apabila hujan lebat.

Dalam kejadian banjir lumpur ini sekurang-kurangnya lima rumah termasuk sebuah tapak usaha ternak dan sembelih ayam terjejas teruk.

http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story3912831.asp

0 comments: