Sinar Harian 30 Sep 09
BATU SERAMBAI - Masalah hakisan tebing sungai yang semakin serius berdekatan Empang Batu menyebabkan penduduk dan pengguna jalan raya berasa bimbang dengan keselamatan mereka sekiranya jalan utama Seremban-Kuala Klawang terputus dua.
Penduduk yang ditemui, Mahmi Alias, 49, dari Kam-pung Sungai Raya berkata, pada mulanya, hakisan tebing sungai itu tidak terlalu besar, tetapi lama-kelamaan, hakisan itu semakin mendekati jalan raya utama yang menjadi penghubung antara Kuala Klawang dan Seremban.
Menurutnya, hakisan tebing sungai itu bagaimanapun tidak begitu jelas dilihat pengguna jalan raya dan dia menyedari hakisan itu kerana sering berulang-alik untuk solat berjemaah di Masjid Kariah Batu Serambai.
“Saya menjangkakan pengguna jalan raya tidak kiralah yang memandu kereta, mahupun motosikal bakal berhadapan dengan risiko terjatuh ke lokasi hakisan tebing sungai itu memandangkan ia sudah terlalu hampir dengan jalan.
“Tindakan segera perlu diambil pihak berkaitan kerana masalah ini bukan hanya menyukarkan penduduk setempat, malah mendatangkan masalah kepada pengguna jalan raya yang sememangnya menjadikan jalan ini sebagai pilihan utama ke Seremban,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.
Sementara itu, Abd Wahid Baharudin, 72, dari Kampung Lalang berkata, masalah hakisan tebing sungai itu sebenarnya sudah diajukan kepada Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) Batu Serambai pada mesyuarat JKKK yang dijalankan.
Menurutnya, Pengerusi JKKK memaklumkan sudah ada pihak yang bakal menjalankan kerja-kerja membaiki tebing sungai yang semakin terhakis dan merosakkan struktur Empang Batu.
“Bagaimanapun, hakisan ini sudah terlalu serius tetapi kerja membaikinya masih belum dijalankan pihak berkaitan.
“Saya berharap supaya pihak berkaitan dapat menjalankan kerja mereka secepat mungkin sebelum masalah ini menjadi semakin serius dan menelan belanja lebih besar,” katanya.
http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story5172270.asp
0 comments:
Post a Comment