9/1/09

Kampung Jiboi terpinggir

Berita Harian 1 Sep 2009

SEREMBAN: Kira-kira 2,000 penduduk Kampung Jiboi, Ampangan, dekat sini mendakwa dianaktirikan berikutan pihak berkuasa tidak menjalankan kerja menaik taraf jalan di kampung itu seperti yang dilaksanakan di Kampung Ismail dan Gedung Lalang.

Mereka mendakwa kerja menaik taraf jalan itu sepatutnya dijalankan serentak kerana tiga kampung berkenaan terletak bersebelahan, apatah lagi, jalan di Kampung Jiboi banyak yang rosak dan tidak rata hingga mendedahkan penduduk kepada kemalangan.

Penduduk Kampung Jiboi, Shamsul Derikim, 30, berkata pihaknya keliru kerana jalan dalam kawasan perkampungan itu masih tidak dinaik taraf sedangkan jalan di Kampung Ismail dan Gedung Lalang, sudah siap dinaik taraf dua bulan lalu.

Beliau berkata, pihaknya dimaklumkan kerja menaik taraf jalan itu membabitkan ketiga-tiga kampung tetapi sehingga hari ini tiada lagi kerja dijalankan di kampungnya, menyebabkan ramai penduduk kampung merasakan mereka seperti dipinggirkan.

"Kami tidak faham mengenai kedudukan sebenar projek itu kerana dalam kain rentang yang dipasang dan dipamerkan, projek menaik taraf jalan yang dijalankan itu turut membabitkan kampung kami," katanya.

Seorang lagi penduduk, Mohd Nasir Ketut, 70, berkata pihaknya sendiri tertanya-tanya mengenai jalan kampung itu yang masih tidak dinaik taraf berbanding Kampung Ismail dan Gedung Lalang yang kini selesa digunakan.

Beliau yang sudah mendiami kampung itu sejak lebih 15 tahun lalu mendakwa, selain jalan yang tidak rata, sebahagian besar penduduk kampung itu turut berdepan masalah banjir kilat apabila hujan lebat yang berpunca daripada sistem perparitan yang tidak sempurna.

"Kadang kala dalam sebulan sampai tiga atau empat kali rumah kami dilanda banjir kilat tetapi hingga hari ini tiada jalan penyelesaian. Banjir ini menimbulkan pelbagai kesulitan kepada kami," katanya.

http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Tuesday/Wilayah/20090901091951/Article/index_html

0 comments: