Berita Harian 28 Sep 09

MOHD SALLEH menunjukkan kawasan paip pecah berulang kali yang ditimbus semula.
Masalah berlaku setiap minggu menyebabkan gangguan bekalan
PAROI: Paip pecah berulang kali sejak 10 tahun lalu menyebabkan penduduk Taman Sri Telawi di sini menderita kerana masalah itu menyebabkan bekalan air terputus, apatah lagi kejadian berlaku ketika sibuk memasak dan hendak mandi sebelum pergi bekerja.
Penduduk mendakwa sepanjang tempoh itu, taman yang diduduki pada 1999 mengalami masalah paip bocor lebih 800 kali menyebabkan mereka mendesak Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains) mengambil tindakan penyelesaian muktamad.
Tinjauan Berita Harian mendapati masalah paip pecah ketara dengan kebanyakan kawasan depan rumah taman itu mempunyai kesan kambusan dan mendapan tanah akibat kerja membaiki paip bocor.
Hampir setiap minggu masalah paip pecah berlaku, malah sebuah rumah di Jalan Telawi 6 mengalami paip bocor yang berlainan dua hari berturut-turut.
Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Sri Telawi, Mohd Salleh Ibrahim, berkata, gangguan bekalan air akan berlaku antara empat hingga lima jam setiap kali paip bocor diperbaiki dan ini menimbulkan pelbagai kesulitan kepada penduduk.

MOHD SALLEH menunjukkan sambungan paip air pecah.
Katanya, penduduk kini mahu Sains mengemukakan pelan penyelesaian jangka panjang untuk mengatasi masalah itu.
“Masalah ini pernah dikemukakan kepada bekas Pengerusi Jawatankuasa Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Rais Zainuddin dengan menyerahkan memorandum kepadanya.
“Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan, dalam Majlis Mesra Rakyat Bersama Pemimpin di taman ini pada 4 Julai lalu, turut dimaklumkan mengenai masalah itu dan saya difahamkan mengambil langkah penyelesaian sewajarnya,” katanya.
Mohd Salleh mendakwa penggunaan sejenis paip menyebabkan masalah itu berlaku kerana paip itu tidak tahan lasak dan mudah pecah.
Beliau juga mencadangkan kepada Sains supaya mencontohi Majlis Perbandaran Seremban (MPS) yang memaklumkan kepada penduduk mengenai sesuatu maklumat.
“Jika sesuatu maklumat seperti gangguan bekalan air berlaku, hantar maklumat itu kepada pengerusi persatuan taman perumahan yang dapat menyebarkan maklumat itu kepada penduduk taman melalui sistem ‘Blasting SMS’.
“Ini membolehkan penduduk membuat persediaan awal seperti menyimpan air dan tidak menghadapi terlalu banyak masalah apabila apabila air putus mengejut,” katanya.
Beliau mengakui bahawa Sains peka terhadap masalah penduduk taman itu dengan bertindak pantas setiap kali penduduk membuat laporan paip pecah.
Bagaimanapun, katanya penduduk mahu episod sengsara mereka setiap kali paip pecah ditamatkan segera dengan menggantikan keseluruhan paip di taman perumahan itu dengan jenis paip lain yang tidak mudah pecah.
http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Monday/Wilayah/20090928082223/Article/index_html
0 comments:
Post a Comment