Beza fahaman politik tidak halang hidup bermasyarakat
Sinar Harian 16 Sep 09
PASOH 1 - Perbezaan masyarakat terutama membabitkan fahaman politik tidak seharusnya menjadi isu utama yang menghalang kehidupan bermasyarakat sebaliknya ia harus disuburkan dengan semangat kerjasama dan tolong-menolong.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Daerah Jelebu, Nazri Mohammad Nor berkata, langkah itu penting bagi memastikan sesebuah kelompok masyarakat saling bantu-membantu dan memperkukuh ukhuwah masing-masing walaupun terdapat per-bezaan fahaman politik.
:Menurutnya, beliau berasa gembira apabila program julung kali diadakan di Felda Pasoh 1 anjuran AMK iaitu Program Semangat Ramadan Keadilan mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat setempat dan peneroka di Felda itu.
“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada masyarakat setempat kerana tidak menjadikan perbezaan fahaman politik penghalang budaya hidup bermasyarakat seperti saling bekerjasama menjayakan sesebuah program demi kebaikan bersama.
“Saya juga berharap supaya setiap program dianjurkan tidak kira daripada mana-mana pihak, haruslah diberi sokongan sebagai tanda kekuatan masyarakat iaitu mengutamakan semangat kerjasama dan tolong-menolong,” katanya ketika ditemui pada program itu.
Hadir sama, Ketua AMK Negeri Sembilan, Rabin Dirham dan Ketua Cabang Jelebu, Ibrahim Yusof.
Pada program itu, sebanyak 300 bungkus bubur lambuk diedarkan kepada masyarakat setempat dan lima orang menerima sumbangan makanan dan barang keperluan harian termasuk beras.
Penduduk, Normah Nordin, 63, berkata, dia berharap supaya lebih ramai masyarakat setempat dapat turut serta dalam program itu dan mengetepikan segala perbezaan fahaman politik demi kesejahteraan hidup bermasyarakat.
Menurutnya, jika masyarakat hanya mengikut kata hati dan memikirkan perbezaan politik, banyak perkara baik akan terlepas terutama untuk menyuburkan kembali semangat perpaduan dan kerjasama.
Rosli Ahmad, 48, ber-harap supaya masyarakat setempat tidak menyempitkan pemikiran masing-masing sebaliknya perlu saling bekerjasama dan bantu-membantu hanya disebabkan perbezaan fahaman politik.
“Hal ini disebabkan, program dianjurkan mana-mana pihak bagi memberi peluang kepada masyarakat setempat mengeratkan lagi silaturahim dan berkenal-kenalan antara satu sama lain,” katanya.
http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story4677333.asp
0 comments:
Post a Comment