10/1/09

Anak rayu PBTM bantu ayah


Sinar Harian 1 Okt 09

JELIN, Jelebu - Zamri Adam, 53, dari Taman Bandar Tinggi yang merupakan anak kepada bekas tentera zaman darurat, Adam @ Hashim Salam, 83, yang kini menderita penyakit ulser atau luka dalam perut sejak beberapa tahun lalu memohon agar jasa ayahnya dihargai melalui Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM).

Zamri berkata, kesihatan ayahnya kini semakin teruk kerana tidak mampu bergerak lancar seperti dahulu, selain tidak lalu makan dan minum serta hanya bergantung kepada ubat-ubatan hospital dan juga farmasi.

Menurutnya, dia sebagai anak hanya mampu membantu serba sedikit dari segi kewangan untuk menampung kos perubatan ayahnya yang dianggarkan melebihi RM400 sebulan bagi memenuhi keperluan seperti ubat-ubatan, lampin pakai buang, dan susu.

“Saya hanya bekerja sebagai pekerja am sahaja di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) Yuk Hwa, Kuala Klawang dan berkeluarga. Oleh itu, saya hanya mampu membantu ayah serba sedikit dari segi kewangan.

“Bagaimanapun, bantuan dari segi tenaga tidak pernah saya abaikan kerana setiap hari setelah habis bekerja, saya pasti akan menjenguk ayah dan ibu, Tijah Mohamad, 81, bagi membantu menguruskan ayah,” katanya ketika ditemui di kediaman ayahnya, semalam.

Tinjauan Sinar Harian mendapati, walaupun Adam terlantar sakit, ingatannya masih kuat terutamanya apabila ditanya mengenai sejarah hidupnya yang pernah berkhidmat sebagai salah seorang askar selama beberapa tahun.

Malah, Adam juga masih mengingati, pada tahun 1948 dia memulakan khidmat sebagai askar Melayu dengan nombor tenteranya 4043.

Kemudian, dia diarahkan berhenti setelah 12 tahun berkhidmat dalam askar Melayu pada 1960.

Zamri berkata, ayahnya dipanggil semula untuk menyertai askar wataniah sebagai jurulatih kawad selama lapan tahun dan banyak mengajar askar berkawad antaranya di Pahang, Negeri Sembilan dan lain-lain lagi sebelum berhenti sepenuhnya pada 1973 dan bekerja kampung.

“Saya pada mulanya tidak tahu bahawa kebajikan bekas tentera boleh diperoleh melalui persatuan sehinggalah terbaca laporan akhbar bahawa mana-mana bekas tentera yang masih belum berdaftar hendaklah berbuat demikian bagi memastikan kebajikan mereka terjaga.

“Namun, saya tidak tahu bagaimana caranya untuk mendaftarkan ayah saya di bawah PBTM dan berharap agar laporan Sinar Harian ini akan banyak membantu saya memastikan ayah disenaraikan sebagai ahli PBTM,” katanya.

Sinar Harian difahamkan Adam memperoleh bantuan bulanan Orang Tua dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300, selain bantuan kerusi roda.

http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story5173526.asp

0 comments: