10/6/09

Bimbang jalan kerap undang bahaya

Sinar Harian 5 Okt 09

KEMIN - Rata-rata penduduk yang ditemui di sekitar kampung Kemin dan berdekatan seperti Tembun dan Binjai mendakwa jalan utama tidak rata kerap mengundang bahaya kepada pengguna.

Penduduk dari Kam-pung Tembun, Zakaria Kamaludin, 58, berkata, kemalangan kecil kerap berlaku di jalan berkenaan kerana pengguna memandu agak laju secara tiba-tiba membrek mengejut bagi mengelak jalan tidak rata itu.

Katanya, senario itu kerap menyebabkan kenderaan dari arah belakang berlanggar atau terbabas kerana ingin mengelaknya.

“Malah, yang terbaru pada penghujung bulan September lalu, terdapat sebuah kereta terbalik ke bahu jalan kerana ingin mengelak melanggar kenderaan yang membrek mengejut. Mujurlah, kemalangan kecil yang berlaku tidak menyebabkan kehilangan nyawa.

“Namun, langkah bagi memperbaiki jalan tidak rata yang terletak betul-betul di persimpangan jalan Kampung Sungai Kua ini perlu dibuat segera bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku,” katanya.

Sementara itu, warga Kampung Tembun Samsudin Osman, 54, berkata, masalah berkenaan jalan itu sebenarnya sudah dimaklumkan kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta dipanjangkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Jelebu.

Katanya, bagaimanapun, JKR Daerah Jelebu memaklumkan jalan berkenaan di bawah Selia Selenggara dan pihak berkenaan datang memperbaiki jalan itu yang sebelum ini agak berlekuk sedikit.

“Namun, langkah mereka bagi memperbaiki jalan ini ibarat melepaskan batuk di tangga sahaja. Ini kerana mereka hanya menampal jalan dan bukannya meratakannya kembali mengikut asal.

“Pengguna masih berhadapan risiko kemalangan kecil dan penduduk kampung juga terpaksa menahan telinga mendengar bunyi hentakan kuat lori besar terutamanya pada waktu malam,” katanya.

Menurutnya, keadaan itu tidak seharusnya berlanjutan dan pihak bertanggungjawab harus turun padang serta meninjau permasalahan berkenaan.

Katanya, ini kerana lokasinya terletak di jalan utama Seremban-Kuala Klawang.

http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story5199761.asp

0 comments: