10/5/09

Empat tahun bergelap tanpa elektrik



Sinar Harian 4 Okt 2009

KUALA PILAH – Walaupun usia sudah mencecah 71 tahun, tetapi kehidupan seorang warga emas, Lasim Anchah tidak pernah lengkap apabila rumah dibina di Kampung Pilah Tengah, di sini pada 26 Mac 2006 lalu masih tidak mempunyai kemudahan bekalan elektrik.

Kini sudah masuk tahun keempat, Lasim terpaksa bergelap di rumahnya dan hanya ditemani cahaya lilin.

Lasim yang tidak pernah berkahwin berkata, dia tidak mempunyai pendapatan untuk menampung perbelanjaan harian.

Malah katanya, rumah itu dibina hasil keprihatinan masyarakat yang bergotong-royong selepas lebih 20 tahun menumpang tidur di Surau Kampung Pilah Tengah.

“Sememangnya kehidupan dahulu tidak teratur. Saban hari mencari tempat untuk berlindung daripada panas dan hujan. Saya pernah tidur di surau lebih 20 tahun dan menyewa rumah di kampung ini sebanyak RM30 sebulan.

“Disebabkan hidup ‘seperti kais pagi makan pagi, kais petang makan petang dan simpati orang kampung melihat kehidupan saya, akhirnya penduduk sepakat membina rumah daripada kayu-kayu lama,” katanya.

Menurutnya, orang perantaraan difahamkan pernah membuat permohonan mendapatkan bantuan kemudahan itu kepada Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Pilah Tengah, Lasim.

“Orang perantaraan pernah memaklumkan perkara ini kepada JKKK, tetapi malangnya sebarang tindakan tidak pernah diambil sehingga hari ini,” katanya.

Lasim berkata, walaupun dia tidak pernah berjumpa dengan ketua kampung, tetapi beranggapan mereka seharusnya tahu masalah penduduk.

Menurutnya yang menghidap asma, dia tidak kuat untuk bekerja, malah pernah terjatuh dan pengsan ketika berada di rumah.

“Memang dahulu keadaan kesihatan tidak begitu baik, tetapi setelah mengambil ubat, Alhamdulillah penyakit asma semakin pulih. Jadi saya boleh melakukan kerja rumah,” katanya.

Dalam pada itu, Lasim berkata, pernah beberapa orang datang melihat dan mengambil gambar keadaan rumahnya sebanyak lima kali tetapi sehingga kini masih tiada sebarang tindakan.

“Saya tidak mengenali mereka, tetapi sibuk mengambil gambar rumah ini. Namun tidak ada tindakan sehingga kini. Saya tidak mahu sebuah rumah cukup sekadar dimakan anai-anai. Begitu juga keadaan atap yang bocor. Pernah ketika itu hujan lebat, rumah ini dipenuhi air,” katanya.

Bagaimanapun katanya, dia kini boleh menarik nafas lega apabila menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk golongan warga emas sebanyak RM300 dan masjid RM100 sebulan.

“Saya bersyukur dan berterima kasih kepada pihak JKM dan masjid kerana memahami keadaan serba kekurangan,” katanya.

Sementara itu, adiknya, Khadijah Anchah, 64, berkata, abangnya memang tidak memiliki rumah dan berharap pihak berkenaan dapat membantu.

“Saya sudah tua dan tidak mampu untuk membantunya. Cuma harapan saya agar pihak yang bertanggungjawab dapat menghulurkan pertolongan,” katanya.

Sinar Harian berjumpa Pengerusi JKKK Kampung Pilah Tengah, Hamzah Othman untuk mengetahui masalah tersebut.

Katanya, Lasim memang tidak pernah berjumpanya untuk memohon kemudahan bekalan elektrik.

“Saya berharap dia datang berjumpa saya dan akan cuba ikhtiarkan permohonannya itu kepada pihak bertanggungjawab,” katanya.

http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story5197687.asp