10/1/09

Longkang tersumbat tempat biak Aedes


Sinar Harian 1 Okt 09

TAMPIN - Sudah menjadi satu impian dan idaman bagi naluri setiap lapisan manusia untuk mempunyai kediaman selesa serta bersih di dalam satu kawasan perumahan mereka.

Bagaimanapun, perkara itu tidak berlaku kepada penduduk Taman Clonlee, di sini, kerana terpaksa meneruskan kegiatan harian dengan ancaman penyebaran wabak denggi berikutan sistem perparitan kotor, tersumbat dan dicemari sampah sarap.

Ahli Jawatankuasa Bertindak Pakatan Rakyat (PR) Zon Repah, Jeffery Young Ahmad berkata, lawatannya di sekitar Taman Clonlee menuju ke arah Kampung Batu Belang mendapati keadaan sistem perparitan mengalami kerosakan teruk.

Menurutnya, tambah menyedihkan kerosakan sistem perparitan terbabit menggagalkan kelancaran air longkang sekali gus menjadikan kawasan berkenaan sebagai tempat pembiakan nyamuk Aedes.

“Kegagalan air longkang ini mengalir secara sempurna menjadikan ia bertakung sekali gus menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes yang mampu memberi ancaman penyakit denggi kepada penduduk sekitar Taman Clonlee,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui.

Jeffery Young berkata, perasaan kesal dalam kalangan ahli Jawatankuasa Bertindak PR Zon Repah timbul kerana pihak berkuasa tempat (PBT) boleh terlepas pandang berhubung permasalahan yang berlaku di kawasan itu.

“PBT diingatkan untuk mengambil tindakan segera sekali gus membangunkan bandar Tampin secara menyeluruh tanpa mengabaikan mana-mana lokasi yang boleh mencacatkan pemandangan dan memburukkan imej daerah ini.

“PBT juga diminta untuk segera mengambil tindakan sewajarnya ke atas sistem perparitan ini supaya tidak akan ada mana-mana penduduk dijangkiti penyakit denggi yang pastinya mengancam nyawa,” katanya.

Beliau berharap, pihak PBT dapat melakukan secara menyeluruh kerja naik taraf bandar Tampin dan memastikan tiada lokasi yang terlepas pandang untuk menikmati pembangunan infrastruktur serta prasarana yang direncanakan.

http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story5173542.asp

0 comments: