10/23/09

Pesara polis tuntut ganti rugi, sewa



Sinar Harian 23 Okt 09

TAMPIN – Pesara polis tidak puas hati dengan tindakan sekumpulan pihak terlibat dengan kerja pelebaran jalan utama bandar Tampin menuju Gemas yang didakwa menceroboh kawasannya.

Mangsa, Ismail Mohd Pilus, 78, ketika ditemui mendakwa, kehadiran sekumpulan pekerja projek terbabit kira-kira lima bulan lalu memasuki kawasan dan premis miliknya menimbulkan beberapa permasalahan lain.

Dakwanya, tindakan kumpulan pekerja berkenaan dengan meletakkan peralatan projek antaranya jentolak, selain menggunakan premis itu tanpa meminta kebenaran adalah pencerobohan serta penganiayaan kepadanya.

“Kira-kira lima bulan lalu, kerja melebarkan jalan utama pekan Tampin ke Gemas dilakukan dan pihak tidak bertanggungjawab itu sesuka hati meletakkan peralatan dan menggunakan premis bangunan tanpa kebenaran saya.

“Saya ada meminta penjelasan pihak terbabit, namun usaha dilakukan tidak mendapatkan sebarang hasil. Pihak terbabit saling menuding jari dan perkara itu memaksa saya membuat laporan di balai polis berdekatan,” katanya.

Ismail mendakwa, tindakan pekerja projek berkenaan menggunakan premis bangunan perniagaannya itu secara percuma menimbulkan banyak permasalahan seperti kerosakan dan bil utiliti melambung tinggi setiap bulan.:

“Sudah berteduh di premis tanpa kebenaran saya, timbul masalah lain seperti kerosakan pada pintu dan stor. Saya kesal dengan permasalahan berlaku dan berharap campur tangan pihak berkuasa dapat menanganinya,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repah, S Veerapan berkata, pihak bertanggungjawab diminta segera bersemuka dengan Ismail dan membayar ganti rugi serta sewa premis berkenaan.

Menurutnya, tindakan undang-undang dan guaman dilakukan sekiranya pihak bertanggungjawab enggan membuat maklum balas berikutan pencerobohan ke atas harta milik persendirian.

“Selaku wakil rakyat kawasan Repah, saya kesal tindakan pihak terbabit kerana menganiaya Ismail. Pihak terbabit diharap dapat tampil bertemu Ismail dan membayar ganti rugi serta sewa terhadap premis itu.

“Saya tidak teragak-agak membantu Ismail mengenakan tindakan undang-undang dan guaman terhadap pihak itu kerana sudah melakukan pencerobohan di atas kawasan orang,” katanya.

http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story5309035.asp

0 comments: