10/7/09

Tebing sungai runtuh ancam keselamatan penduduk


Sinar Harian 7 Okt 09

KAMPUNG SI RUSA – Pihak bertanggungjawab diminta mengatasi segera masalah tebing sungai runtuh yang boleh membahayakan keselamatan penduduk Kampung Si Rusa, di sini.

Seorang penduduk ditemui, Jainon Mat Amin, 74, berkata, masalah itu sudah lama berlarutan dan pelbagai aduan dilakukan kepada pelbagai pihak, namun tiada sebarang tindakan positif dilakukan.

“Kebiasaannya selepas aduan dibuat, wakil pihak berkenaan akan datang mengambil keterangan daripada penduduk dan mengambil gambar serta kemudiannya senyap begitu sahaja,” katanya.

Kerap dilanda banjir

Pada tahun 70-an sehingga 80-an, kawasan rumah itu sering dilanda banjir disebabkan hujan lebat dan air pasang.

Masalah itu dapat diselesaikan apabila Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melebar dan mendalamkan Sungai Si Rusa bermula dari muara sungai.

Sejak itu, JPS kerap melakukan pelebaran dan pendalaman Sungai Si Rusa untuk memastikan masalah banjir tidak terus berlaku.

Kaedah dilakukan pihak JPS agak berkesan untuk mengelakkan banjir di kawasan tepi Sungai Si Rusa.

Bagaimanapun, tebing sungai berkenaan didapati semakin runtuh dan membahayakan kerana ia tidak ditambak.

Dalam jangka masa panjang, tebing sungai tidak berupaya membendung hakisan disebabkan arus sungai disekat sampah.

Keluar belanja besar baiki rumah rosak

Jainon berkata, dia difahamkan pihak JPS beberapa kali cuba menambak tebing sungai itu, tetapi ada sahaja halangan dan ini berlarutan selama bertahun-tahun.

“Akibatnya, kawasan dapur rumah saya mengalami kerosakan seperti kedudukan pintu dapur senget dan mengalami masalah untuk mengunci pintu dapur. Di samping itu, keadaan tepi sungai semakin melandai dan runtuh menyebabkan beberapa struktur lantai dan longkang lari daripada kedudukan asal.

“Atas bantuan anak, kami sendiri mengeluarkan perbelanjaan RM5,000 untuk menambak kawasan rumah agar keadaan bertambah stabil.

“Sementara itu, untuk membaiki keadaan rumah mula melandai tidak dapat dilakukan kerana selagi masalah utama tidak diselesaikan, ia akan tetap rosak kembali.

“Daripada pihak JPS mendalamkan sungai ini setiap tahun adalah lebih baik mereka membina laluan konkrit dan ini dilihat sebagai langkah jangka masa panjang yang akan lebih menguntungkan kedua pihak iaitu penduduk dan JPS sendiri,” katanya.

Tiada peruntukan tambak tebing sungai

Sementara itu, anak Jainon, Mahfuzah Azahari, 37, berkata, seperti dimaklumkan, terdapat halangan untuk menambak tebing itu dan antara alasan diberikan kepada kami, pihak JPS tiada peruntukan kewangan untuk menambak tebing sungai berkenaan.

“Mengapa tiada peruntukan untuk membaik pulih keadaan sungai sedangkan kerajaan selalu melaungkan kempen ‘Cintailah Sungai Kita’. Keadaan sungai di sebelah rumah ibu saya agak menyedihkan dan mengundang perasaan tidak selesa kepada tetamu dalam kalangan sahabat dan saudara bertandang ke rumah kami.

“Kami kerap menerima tetamu memandangkan Port Dickson adalah pusat peranginan terkenal dan sudah tentunya keadaan sungai ini tidak menggambarkan Port Dickson tempat hebat atau lebih tepat, Kerajaan Negeri Sembilan tidak prihatin kepada rakyat tempatan dan cuma memfokuskan pada tempat yang dapat dilihat pelancong sahaja,” katanya.


Pemilik tanah tuntut pampasan tinggi

Mahfuzah berkata, pihak JPS juga memaklumkan kepada kami beberapa tahun lalu bahawa terdapat beberapa pemilik tanah di sepanjang Sungai Si Rusa membantah usaha menambak tebing sungai itu dengan alasan mereka meminta pampasan agak tinggi.

“Pada pendapat saya, agensi kerajaan harus bijak menangani masalah ini kerana bukan semua pemilik tanah yang rumahnya terletak bersebelahan dengan sungai berkenaan.

“Oleh demikian, mereka tidak mengalami tekanan seperti yang kami lalui dan segelintir mereka cuma mementingkan diri sendiri walaupun tiada kerugian akan mereka tanggung apabila pihak JPS menambak sungai. Pihak JPS harus mendahulukan pihak yang terpaksa menanggung beban kerana masalah tebing semakin runtuh itu,” katanya.

Projek bagai melepaskan batuk di tangga

Belum selesai isu tebing sungai yang berpanjangan lebih 10 tahun itu, Mahfuzah mendakwa ibunya terpaksa menerima satu saliran tidak diingini yang dibina di hadapan rumah mereka tahun lalu.

“Tidak logik untuk membina longkang apabila JPS sebelum ini telah membina longkang di seberang jalan untuk tujuan sama. Pembinaan longkang itu hanya seperti melepaskan batuk di tangga.

Setelah longkang itu dibina, ia tidak ditutup seperti dilakukan di longkang lain. Jika diamati, longkang itu tidak ubah seperti tempat pembiakan nyamuk Aedes di mana air longkang berkenaan tidak disalirkan dengan betul menyebabkan air bertakung di longkang dan tidak mengalir ke sungai.

Mohon pihak berkuasa selesai kemelut segera

“Saya mohon agar pihak kerajaan menyegerakan penamba-kan tebing sungai bersebelahan dengan rumah ibu saya. Saya percaya pihak kerajaan tempatan dan JPS dapat menyelesaikan masalah ini dengan bijak,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini.

http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story5210009.asp

0 comments: