10/19/09

Warga emas tabah besarkan Pok Chik


Sinar Harian 19 Okt 09

TAMAN JAYA LUKUT , Port Dickson – Pengorbanan insan yang bernama ibu dan ayah menjaga anak tidak ternilai harganya apatah lagi anak yang diamanahkannya itu adalah mereka yang tergolong dalam kategori orang kelainan upaya (OKU).

Namun dalam kekuatan dan kesungguhan menjaga dan mendidik anak OKU yang semakin meningkat dewasa pasti semakin terbatas dilaksanakan ibu dan bapa yang semakin menjejak usia warga emas.

Piramin Khamis, 56, bersama suaminya Ramli Lazim, 76, terus tabah mengerah tenaga dan mencurah kasih sayang anak bongsunya, Mohd Noor Affandi.

Perlu perhatian sepanjang masa

Mohd Noor Affandi menghidap sindrom ‘down’ sejak lahir 18 tahun lalu memerlukan perhatian 100 peratus daripada kedua ibu bapanya.

Walaupun Mohd Noor Affandi atau lebih mesra dipanggil Pok Chik mempunyai abang dan kakak tetapi dia tidak suka diganggu dua saudaranya itu.

Piramin berkata, bukan kerana benci, tetapi kakaknya yang suka bergurau dan menyakat adiknya sejak kecil menyebabkan Mohd Noor Affandi tidak selesa berada di bawah jagaan kakaknya.

“Pok Chik akan mengamuk apabila dijaga kakaknya dan dia memang sentiasa memerlukan perhatian sepenuhnya serta tidak boleh ditinggalkan bersama orang lain apatah lagi bersendirian.

“Walau bagaimanapun kakaknya sering datang menjenguk adik bongsunya ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Bergantung harap gaji bulanan RM500

Oleh kerana Pok Chik tidak mahu dijaga orang lain selain ibunya, Piramin mengambil keputusan untuk menjalankan perniagaan mengambil tempahan baju secara kecil-kecilan dari rumah untuk menampung perbelanjaan seharian membantu suami.

Namun sejak setahun lalu, Piramin sudah terputus pendapatan kerana mengalami masalah kesihatan.

Menurutnya, melalui rawatan x-ray yang dilakukan di hospital, doktor memberitahu bahawa di bahagian pinggang kanannya ada ketulan batu.

Mungkin disebabkan itulah, katanya, punca mengalami kesakitan apabila duduk terlalu lama ketika menjahit.

Disember ini, doktor mengarahkan dia supaya sekali lagi datang ke hospital untuk rawatan selanjutnya.

“Dan sejak itu, kami sekeluarga hanya akan bergantung hidup kepada pendapatan suami yang bekerja sebagai seorang pengawal keselamatan di Seremban sebanyak RM500 sebulan.

“Dengan wang itulah kami membahagi-bahagikannya untuk keperluan Pok Chik, bayaran sewa rumah, api, air dan selebihnya barulah untuk kegunaan kami, itu pun jika masih berbaki. Tetapi apa yang jelas lebih separuh wang gaji digunakan untuk keperluan Pok Chik,” katanya.

Menurutnya, perbelanjaan untuk penggunaan lampin pakai buang Pok Chik sahaja sudah banyak. Malah, sehari boleh dikatakan empat hingga lima kali tukar lampin. Ini kerana dia sentiasa mempunyai selera untuk makan.

“Apabila kita gantikan lampin pakai buang itu dengan lampin kain, Pok Chik berasa tidak selesa dan akan membukanya sendiri,” katanya.

Piramin turut memaklumkan bahawa dia sekeluarga telah beberapa kali berpindah rumah kerana tuan rumah dahulu ada yang mahu menaikkan harga sewa.

“Kami terpaksa berpindah dan mencari rumah yang paling murah sewanya serta selesa untuk kehidupan kami sekeluarga,” katanya.

http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story5296401.asp

0 comments: