Berita Harian 25 Nov 09
PASIR PANJANG: "Kami juga ingin menggunakan mesin basuh untuk mencuci kain. Bukan tidak mampu beli, tetapi masalah bekalan air yang tidak berkesudahan menyebabkan kami hanya mampu menaruh impian, " kata Melan Anak Goming.
Melan, 44, antara kira-kira 200 penduduk Orang Asli di Kampung Bukit Kepong di sini yang berharap supaya paip air di rumah mereka mengeluarkan air dan bukan hanya untuk dilihat.
Bagaimanapun, pekerja sebuah hotel di pantai peranginan Port Dickson dekat sini, seperti kebanyakan penduduk lain terpaksa mengambil air dari tangki besar yang diletakkan di kampung itu.
Keadaan ini menyebabkan Melan dan penduduk lain kampung itu terpaksa membasuh menggunakan tangan kerana ketiadaan bekalan air.
“Kami berterima kasih kerana Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains) meletakkan tangki besar itu dan dari semasa ke semasa, lori tangki menghantar air ke kampung ini.
“Bagaimanapun, kami masih berharap agar paip air di rumah mengeluarkan air dan tidak perlu lagi ternanti-nanti kehadiran lori tangki, " katanya.
Masalah bekalan air di kampung itu berlaku sejak 10 tahun lalu yang dikatakan berpunca akibat pam air di Bukit Ibol tidak mampu mengepam air ke kampung itu.
Berikutan itu, usaha dilakukan untuk memperbetulkan keadaan, tetapi penduduk mendakwa masalah itu berterusan hingga kini.
Razali Tan So Tok, 47, berkata sebelum ini lori tangki menghantar air ke setiap rumah, tetapi sejak Mei lalu, tangki besar diletakkan di beberapa tempat dan penduduk perlu mengambil air dari tangki itu.
Katanya, lori tangki datang tiga kali seminggu dan walaupun setakat ini tiada masalah yang timbul, tetapi penduduk yang menanggung masalah.
"Memang tidak ada masalah jika masih muda dan kuat. Macam mana dengan orang tua dan uzur hendak angkat air," katanya.
Sehubungan itu, katanya, Sains perlu mengenal pasti punca sebenar masalah itu dan mengatasinya kerana penduduk sudah jemu hendak mengambil air dari tangki.
Selain itu, penduduk memohon pihak berkuasa memasang lampu di sepanjang jalan kampung itu kerana ramai penduduk di bekerja di hotel sekitar Port Dickson.
Razali berkata, mereka bekerja mengikut giliran dan ada yang pulang jam 12 tengah malam dan terpaksa melalui jalan yang gelap.
"Kami bimbang berlaku sesuatu yang tidak diingini ketika pulang dalam keadaan gelap kerana keadaan jalan juga tidak elok. Banyak sangat lubang kerana rosak akibat dilalui kenderaan berat yang mengangkut kelapa sawit dan tanaman lain seperti pisang, " katanya.
Beliau berharap masalah di kampung itu dapat diselesaikan dengan segera kerana penduduk Orang Asli juga mahu merasai nikmat pembangunan.
http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Wednesday/Wilayah/20091125091030/Article/index_html
0 comments:
Post a Comment