Kosmo 25 Nov 09
Melihat kehidupan Anwar Begum dan latar belakang keluarganya sudah cukup untuk merasakan pahit getir liku-liku kehidupannya.
Melihat kehidupan Anwar Begum dan latar belakang keluarganya sudah cukup untuk merasakan pahit getir liku-liku kehidupannya.

ANWAR BEGUM (kiri) dan adik-beradiknya mengharapkan secebis harapan untuk terus tinggal di bumi bertuah, Malaysia.
--------------------------------------------------------
"Saya mahu jadi doktor," Anwar Begum memberitahu dengan suara yang lembut mengenai cita-citanya kepada penulis. Bukan sahaja kerana dia mahu memberi kehidupan yang lebih baik dan sempurna untuk ibu bapa dan adik-beradiknya, tetapi dia juga mahu membantu golongan miskin.
Gadis pemalu yang merupakan anak keempat daripada 10 beradik itu berkata, dia sanggup belajar meskipun ia akan mengambil masa bertahun-tahun lamanya untuk menggapai impiannya.
Anwar Begum, 13, juga sedar perjalanannya nanti penuh dengan onak dan duri tetapi anak gadis itu tetap menaruh harapan walaupun hanya secebis. Menggapai cita-cita penting dalam hidupnya kerana ia adalah sinar yang dapat menyuluh kegelapan kehidupannya.
Dia tetap pergi ke sekolah walaupun dalam keadaan serba kekurangan kerana dia sedar betapa pentingnya pendidikan dan dia tidak mahu mewarisi nasib kepayahan hidup ibu bapanya yang buta huruf.
Azam membara
Melihat kehidupan Anwar Begum dan latar belakang keluarganya sudah cukup untuk merasakan pahit getir liku-liku kehidupannya.
Bapanya, Mohd. Alam Sidek Ahmad, berusia dalam 50-an dan ibunya, Fatimah Zainab, 40, kedua-duanya berketurunan Rohingya, datang ke Malaysia kira-kira 25 tahun lalu untuk menyelamatkan diri daripada penindasan agama di negara mereka, Myanmar.
Tidak seperti kanak-kanak sebaya usianya, dia hanya baru menikmati alam 'persekolahan' pada tahun ini.
Tiga lagi adiknya, Siti Aishah, 12, Mohd. Rashid, 10, dan Siti Shahidah, 8, juga bersekolah di tempat yang sama, anjuran UNHCR (agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) dan sebuah pertubuhan bukan kerajaan. Anwar Begum memberitahu bapanya yang membuat urusan untuk menempatkan dia dan adik-adiknya di sekolah berkenaan.
Walaupun tanpa pendidikan prasekolah dan baru bersekolah, Anwar Begum menunjukkan prestasi yang cemerlang dalam pelajarannya. Apabila ditanya keputusan peperiksaan yang diperoleh, dia dengan malu-malu mengambil dan menunjukkan kertas peperiksaan pertengahan tahunnya.
Dia memperoleh 91 peratus untuk Sains, 100 peratus untuk Bahasa Inggeris, 89 peratus untuk Matematik dan 80 peratus untuk Bahasa Malaysia.
Tetap bersyukur
Setiap pagi apabila Anwar Begum sedar daripada tidur, dia tahu dia perlu menghadapi realiti putaran kehidupan yang penuh dengan ketidakpastian.
Namun demikian, remaja itu tetap bersyukur dia dan keluarganya masih hidup sebagai satu keluarga.
Dia boleh bertutur bahasa Malaysia bukan sahaja yang dipelajarinya di sekolah tetapi juga daripada rakan-rakan Melayu yang dikenalinya.
Ketika berbicara, sesekali dia melemparkan pandangannya kepada adiknya, Siti Salimah, 6. Salimah telah menjalani pembedahan jantung di Institut Jantung Negara (IJN) pada awal tahun ini dan kos pembedahan dibiayai UNHCR dan beberapa pertubuhan kebajikan. Salimah juga merupakan kanak-kanak Sindrom Down.
Anwar Begum mungkin hanya berusia 13 tahun tetapi dia tahu sebagai anak perempuan yang tua dalam keluarganya, dia memikul tanggungjawab berat untuk membantu ibunya dalam membuat kerja rumah dan menjaga adik-adiknya.
Bapanya kadangkala terpaksa terlantar di rumah kerana penyakit kencing manis dan darah tinggi.
Anak gadis itu juga berkata, sesekali dia akan memikirkan keperitan kehidupan keluarganya dan keadaan itulah yang mendorong dia untuk belajar meskipun dia tidak berpeluang menjejak kaki ke sekolah biasa.
Bapa Anwar Begum ialah peniaga sayur di Myanmar sebelum melarikan diri bersama-sama isterinya ke sempadan Thai di mana mereka melakukan pelbagai kerja untuk mengumpul wang dan meneruskan perjalanan ke Malaysia.
Meskipun sudah 25 tahun hidup sebagai pelarian di Malaysia, pasangan itu sedikit pun tidak berasa menyesal meninggalkan tanah air mereka. Di sebalik kehidupan yang tidak menentu, mereka berasa bersyukur setidak-tidaknya anak mereka berada di negara yang selamat.
Kad UNHCR
Kesemua adik-beradik Anwar Begum dilahirkan di Malaysia. Keluarga itu juga boleh dikatakan bernasib baik kerana mereka semua mempunyai kad pelarian UNHCR meskipun kad perakuan itu tidak menghalang mereka daripada ditangkap atau dihantar balik ke negara asal.
Abang Anwar Begum, Abdul Salam pernah ditangkap sebanyak dua kali dan dihantar ke depot tahanan sebelum dihantar pulang ke sempadan Thai.
Kali pertama ditangkap, dia dihantar ke Depot Tahanan Lenggeng, Negeri Sembilan. Selepas dihantar pulang ke sempadan Thai, keluarganya terpaksa membayar kira-kira RM1,500 untuk mendapatkan pembebasannya daripada seorang ejen Thai yang didakwa telah membelinya untuk tujuan perhambaan.
Apabila Abdul Salam ditangkap kali kedua dan dihantar pulang ke sempadan Thai, keluarganya tidak mempunyai wang sebanyak RM2,000 yang diminta.
Abdul Salam ditahan di depot tahanan di Melaka sebelum dihantar ke sempadan Thai. Keluarganya mendakwa dia dijual kepada seorang ejen Thai dan kemudian terpaksa bekerja sebagai 'hamba' di sebuah ladang sayur di sempadan Thai. Dia akhirnya dibebaskan selepas lima bulan dan kembali ke Malaysia.
Rumahku Syurgaku
Tempat yang Anwar Begum panggil sebagai 'rumah' tidak mempunyai sebuah kamar tidur pun.
Berbanding anak-anak yang lebih bernasib baik yang tidur beralaskan tilam lembut di atas katil, dia dan adik-beradiknya tidur di atas lantai. Tidak ada bantal wangi atau anak patung untuk dipeluk. Tidak ada juga lampu tidur dan selimut tebal.
'Rumah' itu juga tidak ada tingkap di ruang yang boleh dipanggil ruang tamu yang juga digunakan sebagai tempat tidur. Dinding sebelah pintu depan (satu-satunya pintu yang ada) bergoyang apabila dipegang kuat.
Bahagian lain 'rumah itu dibahagi dua, satu mempunyai tandas dan bilik air dengan sebuah sudut diletakkan dapur dan sebahagian lagi ruang makan dan juga tempat tidur. Terdapat sebuah tingkap kecil atas dinding yang tinggi, cukup untuk memberi sedikit cahaya bagi ruang yang kelihatan kelam.
Namun, apabila hujan, tempias akan membasahi ruang di bawah dan kesan basah masih dapat dilihat pada kain yang diletakkan di bawah tingkap.
Kediaman yang serba usang itu beratapkan zink dan terdapat lubang di beberapa bahagian. Apabila hujan, air yang meresap masuk terpaksa ditampung dengan apa sahaja yang ada di dalam rumah termasuk periuk dan kuali.
Sebelum keluarga itu mempunyai bekalan air, air hujan yang dikumpul bagaikan curahan nikmat dari langit yang digunakan untuk keperluan kehidupan mereka.
Keluarga itu sebenarnya baru memperoleh bekalan elektrik. Sebelum ini, mereka hanya menggunakan lilin untuk menerangi gelap malam dan ada kalanya, mereka duduk bergelap sehinggalah mata terlelap.
Anwar Begum dan adik-beradiknya makan apa sahaja yang dimasak ibunya tanpa banyak soal. Apa juga yang dimakan semasa tengah hari akan menjadi makanan waktu malam.
Lazimnya, mereka akan makan nasi putih dengan berlaukkan dalca sayur. Setiap orang akan mengambil sesenduk nasi dan sesenduk kuah sayur sementara minuman pula hanyalah air kosong.
Tidak ada juga nasi tambah kerana nasi dan kuah yang dimasak adalah untuk makanan 11 orang!
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=1125&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_02.htm
0 comments:
Post a Comment