Sinar Harian 26 Nov 09
AMPANGAN – Salah sebuah rumah penduduk di Taman Dusun Nyior, Lorong Nyior 7/1, di sini, bagaikan ‘retak seribu’ dipercayai berpunca daripada kerja-kerja penambahbaikan rangkaian paip pembetungan yang dijalankan di kawasan berhampiran.
Tidak puas hati dengan keadaan itu, Ithnin Amat, 46, membuat laporan polis meminta ganti rugi sebanyak RM30,000 daripada pihak kontraktor yang terlibat memandangkan dia dan keluarganya kini mula dihimpit resah berikutan banyak ruang di rumahnya mengalami keretakan teruk.
Antara kerosakan dilaporkan ialah simen keseluruhan lantai retak, bingkai pintu renggang, keseluruhan siling rumah pecah, rekahan pada sebahagian dinding rumah, paip air pecah dan pagar batu rumah rosak.
Menurutnya, keretakan mula timbul sejak kerja-kerja penambahbaikan paip pembetungan dilakukan bersebelahan rumahnya sejak setahun lalu.
“Sejak dari itu rumah saya sedikit demi sedikit mengalami keretakan dan lama-kelamaan semakin teruk dan kami sekeluarga bimbang sekiranya berlaku sebarang kejadian tidak diingini.
“Pernah juga serpihan syiling dan dinding rumah jatuh disebabkan gegaran yang agak kuat datangnya daripada kerja-kerja dilakukan,” katanya.
Menurut Ithnin, aduan sudah dibuat kepada pihak kontraktor berkenaan, namun malangnya berlaku sikap tuding-menuding disebabkan projek terbabit bertukar kontraktor dua kali.
Katanya, sebelum ini projek terbabit pernah terhenti seketika dan kemudian ditukar dengan kontraktor lain menyebabkan tidak ada yang tampil membuat pengakuan.
“Mujurlah keretakan pagar rumah saya pihak kontraktor sekarang bersedia membayar ganti rugi memperbaiki segala kerosakan, namun malangnya hingga hari ini saya masih belum menerima sebarang bayaran.
“Janji mereka, sebelum puasa perkara ini akan selesai tapi sampai sekarang tetap begini dan saya sudah tidak dapat bersabar lagi,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di rumahnya.
Selain itu katanya, disebabkan kerja-kerja tersebut rumahnya pula kini diancam tanah mendap selain terpaksa berhadapan bunyi bising setiap kali kerja-kerja dilakukan.
Oleh itu katanya, dia amat berharap kerja-kerja penambahbaikan yang sedang dilakukan dapat disiapkan secepat mungkin kerana banyak masalah terpaksa ditanggung olehnya dalam tempoh tersebut.
“Kereta pun saya kena letak jauh dari rumah disebabkan lori simen yang menghalang laluan ke rumah saya,” katanya.
Dalam pada itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ampangan, Rashid Abd Latiff berkata, dia kecewa apabila kontraktor berkaitan dilihat seolah-olah melambatkan usaha penambahbaikan hingga menyusahkan rakyat.
“Malah, sikap tuding-menuding antara kontraktor juga menunjukkan bagai ada yang tidak kena dengan pengurusan mereka dan beban terpaksa ditanggung adalah rakyat.
“Jadi, sebagai wakil rakyat di kawasan ini, saya amat berharap masalah ini dapat diselesaikan segera sebelum berlaku insiden yang lebih buruk,” katanya ketika ditemui melawat lokasi rumah Ithnin.
Sementara itu pihak kontraktor terlibat ketika ditemui berkata, pihaknya bersedia menanggung segala kos kerosakan pagar rumah Ithnin kerana ia sememangnya dilakukan oleh jentera mereka sendiri yang melanggar pagar rumah Ithnin.
“Kami bukan tidak mahu bayar sekarang, tapi kerja-kerja penambahbaikan masih dijalankan dan kita tidak mahu apabila pagar sudah siap dibetulkan timbul pula masalah lain.
“Kita tidak mahu kerja dua kali dan ini semestinya merugikan kedua-dua pihak. Paling lambat pun, kita akan siapkan dalam minggu ini,” katanya kepada Sinar Harian.
http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story6060944.asp
0 comments:
Post a Comment