Sinar Harian 3 Dis 09
PAROI – Hasrat ibu tunggal menikmati kehidupan lebih selesa selepas mengubahsuai rumahnya terbantut kerana kontraktor dipilih dipercayai bekerja sambil lewa apabila masalah lain timbul.
Zahara Ibrahim, 59, berkata, mengubahsuai rumahnya di bahagian dapur pada 2006 mengeluarkan perbelanjaan RM10,000, namun awal tahun ini bahagian dapur rumahnya mengalami masalah kebocoran teruk dipercayai berpunca daripada kerja pengubahsuaian terdahulu.
Bagaimanapun, dia buntu apabila janji pihak kontraktor untuk menanggung masalah berlaku dilihat sekadar janji kosong, selain tidak mempunyai sebarang dokumen hitam putih untuk mengambil sebarang tindakan.
“Awal tahun ini bumbung rumah saya bocor dan semakin teruk menyebabkan setiap kali hujan bahagian dapur pasti banjir. Saya sendiri tidak tahu apa perlu dibuat.
“Saya rasa tertipu apabila niat asal mengubahsuai rumah menimbulkan masalah lain dan kini saya tidak mempunyai wang untuk membaiki bumbung rumah ini,” katanya.
Katanya, sebelum ini tidak pernah berlaku sebarang masalah bocor seperti itu, namun dia percaya disebabkan kerja pengubahsuaian dilakukan secara sambil lewa pihak kontraktor menyebabkan masalah itu berlaku.
Sementara itu, anaknya, Aida Mohd Hanif, 38, berkata, dia bimbang sekiranya berlaku kejadian litar pintas menyebabkan kebakaran sekali gus menggugat keselamatan ibunya tinggal di rumah itu bersendirian.
Katanya, dia kesal dengan sikap pihak kontraktor tidak bertanggungjawab itu dan tiada tempat untuk mengadu hal berkenaan kerana tidak sebarang bukti atau dokumen mengesahkan kontraktor berkenaan melakukan kerja terbabit.
“Kita ada minta resit ketika itu, tetapi pelbagai alasan diberikan dan sekarang kami tidak dapat berbuat apa. Saya sendiri kerja tidak menentu dan mahu mendapatkan wang untuk memperbetulkan masalah kebocoran ini sukar untuk saya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Sri Telawi, Jalan Sri Telawi 10.
Zahara berkata, dia bimbang rumahnya di bahagian dapur akan runtuh pada bila-bila masa sahaja, namun dia tidak tahu ke mana tempat harus dia mengadu.
Difahamkan, Zahara ada memohon bantuan membaiki rumah daripada pihak Baitulmal dan kini menunggu maklum balas permohonannya itu.
“Saya berharap pihak Baitulmal dapat meluluskannya segera kerana saya tidak mempunyai wang untuk tujuan itu. Ini pun saya membantu anak menjual insurans secara sambilan dan pendapatannya tidak menentu.
“Saya sendiri sebagai ibu tunggal sebelum ini tidak pernah membuat permohonan untuk mendapatkan sebarang bantuan daripada jabatan berkaitan, tetapi kini saya tidak mampu lagi,” katanya.
Selain itu, Zahara turut mempunyai penyakit jantung, darah tinggi dan urat saraf memerlukan wang untuk kos perubatan.
Oleh sebab itu, dia berharap ada pihak sudi tampil membantu menamatkan segala permasalahan dihadapinya.
http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story6123775.asp
0 comments:
Post a Comment