12/20/09

Keadilan bina ‘hentian bas rakyat’

Sinar Harian 20 Dis 09

RANTAU – Keadilan Rembau mengambil inisiatif membina kemudahan hentian bas secara bergotong-royong untuk penduduk di Taman Bunga Raya, Kuala Sawah dekat sini.

Sebelum ini, Pusat Khidmat Rakyat Rembau menerima aduan hampir setahun daripada penduduk di kawasan itu yang bukan sahaja memohon hentian bas malah beberapa lagi kemudahan lain yang tidak ada di kawasan terbabit.

Ketua Parti Keadilan Rakyat Cabang Rembau, Badrul Hisham Shaharin berkata, perbelanjaan sebanyak RM815 dikeluarkan untuk tujuan pembinaan hentian bas itu yang juga mendapat sumbangan daripada penduduk berhampiran.

“Di sini, hentian bas menjadi satu-satunya tempat berlindung daripada hujan dan panas untuk pekerja kilang dan anak yang bersekolah menunggu bas.

“Kita dimaklumkan mereka sudah lama membuat permohonan tapi entah di mana silapnya sampai sekarang tiada satu pun kemudahan perhentian bas dibina menyebabkan kami mengambil inisiatif bersama penduduk membinanya sendiri,” katanya.

Beliau berkata, penduduk juga terpaksa berhadapan dengan masalah kekurangan lampu jalan yang mengundang masalah jenayah ragut di kawasan itu menyebabkan masing-masing mula bimbang dengan keselamatan diri.

Menurutnya, pihaknya telah membuat surat mendesak pihak berwajib membina segera lampu jalan dan perhentian bas di kawasan itu.

“Dua bulan lepas lampu jalan dipasang dan kami mengucapkan terima kasih untuk itu tetapi amat mengecewakan apabila tidak ada sebarang respons daripada agensi terbabit berhubung permohonan perhentian bas,” katanya.

Badrul berkata, sekarang penduduk tidak perlu bimbang lagi kerana kemudahan itu telah dapat disediakan dan beliau berharap mereka dapat bersama-sama menjaganya sebaik mungkin.

Dalam pada itu pemimpin penduduk, S Selvaraju berkata, penduduk mengucapkan terima kasih kepada Parti Keadilan Rembau kerana bersedia membina kemudahan terbabit yang sememangnya sudah dinanti-nantikan penduduk sekian lama.

“Sebelum ini bukan tidak ada sesiapa yang datang mengambil gambar di kawasan ini tetapi setakat itu sahaja dan penduduk rasa tertipu,” katanya.

Pengerusi Kuil, A Muneswara berkata, pihaknya sudah beberapa kali membuat permohonan kepada pihak berwajib untuk disediakan kemudahan itu, namun ia seolah-olah dipandang sebelah mata.

“Terima kasih kepada Parti Keadilan Rembau, selepas ini tidaklah lagi anak-anak kami yang mahu ke sekolah basah kuyup ketika menunggu bas semasa hari hujan,” katanya.

http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story6230373.asp

0 comments: