Berita Harian 7 Dis 09

HALIMAH menujukkan rumah yang masih terbengkalai.
Kontraktor SPNB gagal siapkan rumah terbengkalai sejak September lalu
PANTAI: Seorang tukang jahit hampa kerana rumah baru yang dibina melalui program Rumah Mesra Rakyat (RMR) Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dan sepatutnya siap September lalu, hingga kini masih terbengkalai.
Lebih memeningkan Halimah Ahmad, 56, dari Kampung Gayan Pantai di sini ialah rumah yang diduduki sejak lebih 70 tahun lalu sudah dibuka sebahagiannya kerana menyangka rumah baru akan siap seperti dijanjikan.
Selain itu, katanya bayaran kepada bank untuk membiayai pembinaan rumah itu sudah bermula dan dengan pendapatan sebagai tukang jahit hanya mampu menampung pembayaran balik pinjaman dan urusan kehidupan harian.
“Banyak kali saya membuat aduan kepada SPNB mengenai masalah ini. Walaupun selepas itu ada pegawai datang melawat tapak rumah, tetapi hingga kini pembinaan rumah saya terus terbengkalai,” katanya.
Halimah mendakwa hasil pemeriksaan pegawai SPNB pada 5 Oktober lalu, mendapati ada beberapa kerosakan dan kecacatan dalam pembinaan rumahnya.

KEADAAN dinding disumbat dengan kertas sebelum disimen.
Katanya, ini membabitkan tiang rumah, saiz rasuk bumbung bahagian bilik, kerja mengikat bata dan ketiadaan tiang RC Stiffener di bahagian bilik air.
“SPNB mengarahkan kontraktor terbabit membaiki kecacatan itu, tetapi pekerja hanya menyumbat lubang di bahagian dinding dan kekisi pintu dengan kertas dan kemudian menyimen. Pada bahagian tiang pula, kontraktor hanya menambah batu bata dan bukan menggantikan baru.
“Rangka rumah sudah siap, namun hingga kini masih tiada bumbung dipasang menyebabkan kayu rusuk di bahagian bumbung mula berkulat,” katanya.
Sehubungan itu, Halimah mahu SPNB mengambil tindakan tegas terhadap kontraktor terbabit kerana selain sudah lama menunggu, pembinaan rumah impiannya tidak dilakukan dengan sempurna.
Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lenggeng, Mustafa Salim, berkata masalah itu sudah dikemukakan kepada SPNB yang membuat pemilihan kontraktor untuk pembinaan rumah itu.
“Semua pemilihan kontraktor dibuat oleh SPNB sendiri dan saya difahamkan kontraktor terbabit telah diberi amaran. Saya berharap pembinaan rumah Halimah dapat disiapkan segera dan tidak lagi timbul sebarang masalah,” katanya.
http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Monday/Wilayah/20091207091349/Article/index_html
0 comments:
Post a Comment