12/22/09

Paip pecah punca banjir lumpur

Sinar Harian 22 Dis 09

PANTAI , Seremban – Tahun ini sahaja sudah tiga kali rumah se-orang penduduk di Kam-pung Pantai Batu 9, dekat sini, dinaiki air dipercayai berpunca daripada masalah paip pecah yang berlaku di hadapan rumahnya.

Ernawaty Mohd Nor, 55, berkata, setiap kali masalah itu berlaku, rumahnya banjir dan dipenuhi lumpur walaupun tanpa hujan.


Kejadian terbaru pada 18 Disember lalu kira-kira jam 10.30 malam, sekali lagi berpunca daripada masalah paip pecah menyebabkan dia nekad mengambil tindakan membuat laporan polis.

“Saya menetap di sini bersama suami manakala anak-anak tinggal di Kuala Lumpur. Bila berlaku banjir lumpur seperti memang letih dibuatnya kerana perlu membersihkan persekitaran rumah yang kotor diselaputi lumpur tebal.

“Saya sudah penat me-nanggung kesusahan ini setiap kali banjir,” katanya.

Menurutnya, dia dan suami dibelenggu kebimbangan sekiranya paip pecah berlaku pada waktu malam ketika semua sedang nyenyak tidur.

“Mujurlah bahagian garaj rumah saya tinggi dan setakat ini air tidak pernah masuk ke bahagian dalam rumah melainkan dapur dan tandas di belakang rumah,” katanya kepada Sinar Harian.

Selain itu, katanya, perniagaan kedai makannya turut terjejas setiap kali kejadian itu berlaku dan dia amat berharap pihak berwajib dapat membayar ganti rugi.

“Lebih mengecewakan apabila banjir akibat paip pecah, pihak berwajib langsung tidak datang bertanya khabar yang sekurang-kurangnya dapat meredakan keresahan.

“Tidak dinafikan bila paip pecah kontraktor ditugaskan datang segera ke sini untuk membetulkannya. Cuma kami agak terkilan kerana tiada sesiapa pun yang datang menjenguk keadaan kami,” katanya.

http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story6235829.asp

0 comments: