Sinar Harian 1 Dis 09
SEREMBAN - Sempena sambutan Hari Raya Aidiladha kali ini, ahli jawatankuasa dan pendokong Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Rembau mengadakan program Kempen ‘Mengorbankan’ Darah Sempena Hari Raya Korban.
Program yang diadakan di Unit Perkhidmatan Darah Hospital Besar Tuanku Ja’afar (HTJ) itu mendapat sambutan menggalakkan apabila berjaya mengumpulkan lebih 50 individu pelbagai kaum untuk sama-sama menderma darah.
Ketua PKR Cabang Rembau, Badrul Hisham Shaharin berkata, pada tahun ini pihaknya tidak mampu menyediakan lembu atau kambing bagi mengadakan ibadah korban seperti yang dilaksanakan pada tahun-tahun sebelumnya.
“Biarpun kami tidak mampu dari segi wang ringgit, namun hasrat kami untuk sama-sama merealisasikan dan menzahirkan semangat pengorbanan sempena hari raya korban kali ini tidak dibiarkan begitu sahaja. Ini kerana kami sepakat mengadakan kempen menderma darah.
“Tambahan pula melihat perkembangan kemalangan jalan raya yang semakin meningkat setiap kali musim perayaan dan waktu cuti sekolah, mendorong kami untuk memenuhkan tabung darah yang menjadi elemen penting untuk menyelamatkan nyawa,” katanya.
Menurutnya, ajal maut ditentukan Tuhan, namun ini adalah antara usaha yang dapat dilakukan untuk menyelamatkan nyawa mereka yang terlibat dengan kemalangan.
Sinar Harian difahamkan, Pusat Perkhidmatan Darah yang menjadi sesak semasa kempen berkenaan diadakan terpaksa mengehadkan penderma.
Selain itu, Setiausaha Keadilan Cabang Rembau, Norazizi A Aziz berkata, pihak PKR Rembau terkejut dengan sambutan menggalakkan itu dan amat mengharapkan penyertaan lebih ramai masyarakat jika kempen seperti ini diadakan.
“PKR Rembau amat berterima kasih kepada pihak HTJ dan semua penderma darah yang terdiri daripada pelbagai lapisan kaum.
“Kami merancang untuk meneruskan kempen ini di tempat-tempat awam dengan kerjasama pihak hospital, selain menggunakan kesempatan ini untuk memberikan penerangan secara terus kepada rakyat tentang pentingnya menderma darah kepada mereka yang memerlukan,” katanya.
http//www.sinarharian.com.my/mns/content/story6117707.asp
0 comments:
Post a Comment