12/22/09

Penghuni mahu penjelasan, pampasan

Sinar Harian 22 Dis 09

LARONG , Jelebu- Seorang penduduk di Kampung Larong, Shamsiah Jawi, 66, memohon wakil syarikat yang bakal menjalankan kerja-kerja meletak pembetung bersaiz besar berdekatan lokasi rumahnya tampil memberi penjelasan dan pampasan sewajarnya.

Shamsiah berkata, langkah itu perlu memandangkan kehadiran sebuah jentolak menggunakan laluan jalan di atas tanah miliknya dan jiran berhampiran menimbulkan rasa kurang selesa penduduk kerana struktur jalan berkemungkinan rosak selain rumah mereka bergegar semasa jentolak tersebut melalui rumah mereka.
Menurutnya, dia dapat mejangkakan sekiranya projek itu tetap diteruskan, sebahagian daripada struktur rumahnya 'musnah' bagi memberi laluan terhadap kerja-kerja meletakkan pembentung bersaiz besar tersebut.

“Sudahlah sejak tahun 1997 lagi hingga kini, saya masih bayar cukai tanah geran asal di mana kawasan tertera di atas geran tersebut adalah termasuk sekali sungai yang sudah dilebarkan ini. Jika dahulu rumah saya betul-betul terletak di sungai tetapi sekitar pertengahan tahun 90-an, kerajaan memberi pampasan sebanyak RM41,000 bagi mengalih-kan rumah kami ke belakang sedikit untuk memberi laluan kepada kerja-kerja melebarkan sungai.

“Inilah yang merisaukan saya. Suami saya sudah tiada dan kini saya tinggal bersama anak serta menantu di rumah ini. Sekiranya kerja-kerja ini diteruskan, saya mohon wakil syarikat berkenaan tampil memberi penjelasan dan pampasan sewajarnya,” katanya ketika ditemui di kediamannya.

Sementara itu, anaknya, Syahida Atan, 33, berkata, dia berasa amat kesal kerana jawapan diberikan salah seorang kakitangan syarikat tersebut ketika diminta berbuat demikian sangat mengecewakan kerana kakitangan tersebut menyatakan laluan itu adalah terletak dalam rizab sungai dan pampasan telah disa-lurkan kepada penduduk kampung.

Namun menurutnya, perkara itu tidak benar kerana ibunya masih membayar cukai mengikut geran asal yang belum diubah walaupun kerja-kerja melebarkan sungai telah lama berlalu.

“Mula-mula, hari pertama jentolak lalu, akak cuba buat-buat tidak tahu walaupun rumah bergegar tetapi masuk hari ketiga, akak sudah tidak sabar lagi kerana tidak ada wakil syarikat tampil memberi penjelasan kepada penduduk.

“Oleh itu, saya seru pihak pengurusan syarikat tampil memberi penjelasan sebelum kerja-kerja diteruskan dan memberi ampasan bersesuaian memandangkan kerja-kerja itu menimbulkan kerosakan kepada tanah milik kami.

http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story6235515.asp

0 comments: